Selasa, 25 Oktober 2016

Lembaga pengampunan Selangor nafi lewatkan proses rayuan

 
Lembaga sentiasa komited dan peka mengenai rayuan banduan dihukum mati termasuk kes melibatkan pembunuhan Canny Ong, kata setiausaha lembaga pengampunan. 


Mazalan-Md-Noor_banduan_600


PETALING JAYA: Lembaga Pengampunan Negeri Selangor menafikan wujudnya masalah kelewatan berhubung proses rayuan melibatkan banduan dihukum mati, hari ini.

Setiausaha Lembaga Pengampunan Negeri Selangor, Datuk Mazalan Md Noor menerusi kenyataan rasmi berkata, pihaknya komited dan peka mengenai perkara itu dan menangkis tanggapan negatif yang dikeluarkan sesetengah pihak.

“Pihak Lembaga menetapkan mesyuarat bersidang sekurang-kurangnya 2 kali setahun atau lebih mengikut keperluan difikirkan perlu oleh Sultan Selangor sebagai pengerusi bagi melindungi kepentingan banduan, mangsa dan keluarga mangsa yang diperlakukan banduan tersebut.

“Oleh demikian, tidak timbul isu kelewatan mengadakan pendengaran rayuan pengampunan di Lembaga Pengampunan Negeri Selangor apatah lagi kami adalah lembaga paling aktif bersidang berbanding negeri lain,” katanya.

Merujuk kepada kes melibatkan banduan Ahmad Najib Aris pula, yang menjalani hukuman mati pada 23 September lalu, beliau berkata ia berpunca daripada banduan itu sendiri dan bukan masalah atau kelewatan memproses rayuannya.

Najib didapati bersalah membunuh Canny Ong Lay Kian pada 2003 di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya.

“Pihak Jabatan Penjara Malaysia juga mengesahkan melalui surat bertarikh 15 Julai 2010 kepada Urus Setia Lembaga Pengampunan yang banduan itu sendiri pada masa itu belum bersedia mengemukakan rayuan bersama banduan hukuman mati lain walaupun diberikan peringatakan pihak Jabatan Penjara,” menurutnya.

Respons ini diterima susulan kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh yang menggesa Lembaga Pengampunan mengenakan had masa sama ada untuk membenarkan petisyen pengampunan kepada banduan dihukum mati, yang disiarkan FMT pada 4 Oktober 2016.

“Ia tidak berperikemanusiaan meletakkan mereka dalam satu situasi tidak pasti kerana mereka mempunyai hak untuk mendapatkan pengampunan dan membawa kepastian kepada kehidupan mereka,” katanya.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Najib dalam prosiding mahkamah, berkata beliau difahamkan pihak penjara membantu banduan memfailkan petisyen bagi pengampunan kepada Sultan Selangor.

“Beliau dapat berhubung dengan peguam saya yang menyediakan dokumen untuk memfailkan petisyen itu,” katanya.

Haniff percaya hukuman itu ditangguhkan kerana kerajaan mengenakan moratorium tidak rasmi sementara menunggu keputusan sama ada untuk memansuhkan hukuman mati terhadap pengedar dadah.

Ramkarpal, peguam yang pakar dengan kes jenayah berkata, keadaan itu juga secara fizikal dan mental menjejaskan ahli keluarga banduan.

“Saya berharap Lembaga Pengampunan di setiap negeri akan mempunyai tempoh tertentu dalam memutuskan sama ada untuk meluluskan petisyen pengampunan,” katanya.


Tiada ulasan: