Ahad, 16 Oktober 2016

Lebih 30 pemimpin akar umbi Umno umum keluar parti

Anne Muhammad


LIHAT VIDEO DI SINI

Lebih 30 pemimpin akar umbi Umno hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu kerana hilang keyakinan terhadap presidennya Datuk Seri Najib Razak.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang media yang diketuai oleh bekas exco Pemuda Umno Malaysia Mohd Rafiq Naizamohideen.

"Kami bersetuju dan bersedia keluar Umno berkuatkuasa serta merta.

"Walau berat tapi yakin ramai yang hilang keyakinan dan barisan kepimpinan yang sebelum ini kami pertahankan sehingga hujung nyawa.

"Kerana apa kami buat, kerana matlamat perjuangan Umno tak letak rakyat keutamaan, tetapi membenarkan, menyokong kemungkaran dan salah guna kuasa berleluasa di Malaysia," katanya dalam sidang media di Hotel De Palma Ampang sebentar tadi.

Majlis itu dihadiri kira-kira 70 anggota Umno yang lain.

Dakwa 150 anggota ikut serta

Mohd Rafiq turut mendakwa, selain pemimpin Umno terdapat 150 anggota Umno lain yang turut menyertai keluar parti pada hari ini.

Katanya, Umno kini telah lari daripada perjuangan dan dirosakkan oleh kepimpinan parti yang tidak bertanggungjawab.

“Kami semua sependapat bahawa Umno hari ini sudah pun tersasar daripada perjuangan asalnya.

"Imej Umno dan kerajaan Malaysia yang ditunjangi oleh Barisan Nasional telah tercemar dengan teruknya susulan daripada pelbagai skandal dan isu-isu besar yang dikaitkan dengan kepimpinan tertinggi Umno,” katanya.

Malah katanya, Lembaga Disiplin Umno kini dilihat menjadi alat bagi menyekat kemaraan karier politik mana-mana pemimpin tertentu dan tindakan yang diambil berdasarkan pilih kasih serta mengikut kepentingan politik pimpinan.

“Sebelum ini terdapat pemimpin yang didapati bersalah dalam Lembaga Disiplin Umno atas kesalahan politik wang dalam pemilihan Umno lepas tetapi hanya diberi amaran atau dihalang bertanding.

“Mereka yang terlibat dalam rasuah politik ini dilantik dan dikekalkan sebagai barisan menteri di pelbagai peringkat,” katanya.

Tak nak masuk balik

Sementara itu, Rafiq turut mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mendakwa ramai bekas anggota Umno merayu untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan.

“Katalah ada ribuan ahli Umno yang dah dipecat merayu masuk Umno, saya cabar dia senaraikan sebab dia janji nak bagi senarai.

“Tolong tunjuk berapa juta, berapa puluh ribu yang kena pecat ni. Tapi kami semua memang tak nak masuk balik,” katanya sambil disahut sorakan mereka yang hadir.

Terdahulu Rafiq digantung sebagai anggota Umno selama enam tahun atau dua penggal manakala jawatannya sebagai exco Pemuda Umno juga digugurkan.

Beliau didakwa melakukan sabotaj kepada Najib dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Idris Haron melalui program Bicara Negarawan yang dicadang dianjurkan di Melaka pada tahun lalu.

Tiada ulasan: