Isnin, 10 Oktober 2016

Lawan Bersih 5 secara intelektual, nasihat Perkasa kepada Baju Merah

Astro Awani
Lawan Bersih 5 secara intelektual, nasihat Perkasa kepada Baju Merah
Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mendesak pemimpin kanan UMNO supaya menasihatkan kumpulan Baju Merah supaya patuh kepada undang-undang. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menasihatkan kumpulan Baju Merah supaya berdepan kumpulan Baju Kuning secara intelektual bukan menggunakan kekerasan.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menegaskan kumpulan Baju Merah sering menggunakan provokasi sebagai tanda tidak bersetuju dengan pihak lain termasuk Bersih 5.

"Kita boleh tidak bersetuju dengan kumpulan Baju Kuning (Bersih 5) tetapi ada caranya untuk kita bertindak balas iaitu dengan cara demokratik, cara intelektual, cara perbahasan, cara memberi hujah atau jawapan yang boleh diterima orang ramai kenapa kita tidak bersetuju.

"Kala cara menunjuk samseng, nak tunjuk kekuatan secara provokasi yang boleh mendatangkan kecederaan secara fizikal ia sesiatu yang tidak baik," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

Ibrahim juga menasihatkan kumpulan Baju Merah supaya membuat tindakan yang boleh memalukan umat Islam kerana kekerasan dan keganasan bukan ajaran Islam.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mendesak pemimpin kanan UMNO supaya menasihatkan kumpulan Baju Merah supaya patuh kepada undang-undang.

"Kumpulan Baju Merah ini dikaitkan dengan UMNO kerana yang terlibat adalah dari kalangan yang mendokomg UMNO, jadi saya rasa elok sangat kalau Perdana Menteri atau pemimpin kanan UMNO, kalau tak nak rugi dari segi sokongan rakyat, elok nasihatkan kumpulan Baju Merah supaya mengikut undang-undang.

"Begitu juga kumpulan Baju Kuning, mereka juga perlu mengikut undang-undang," katanya lagi.

Ibrahim turut mendesak pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bertindak tegas terhadap kumpulan-kumpulan yang melakukan keganasan dan kekerasan.

"Jangan sampai nasi menjadi bubur," tegas beliau.

Awal hari ini, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut mengecam tindakan ganas yang dicetuskan penyokong Baju Merah ke atas aktivis Bersih 5 dalam kejadian di Sabak Bernam pada Sabtu.

Katanya, amalan demokrasi di negara ini tidak membenarkan keganasan serta kekerasan fizikal sebagai penyelesaian dalam berhadapan pandangan berbeza.

"Saya melihat video semalam, tindakan sekumpulan Baju Merah itu yang menyerang aktivis Bersih (dengan) menendang dan melakukan kekasaran fizikal. Ini kita tidak boleh terima. Siapa sahaja yang terlibat, tindakan ganas perlu kita kecam.
 
"Untuk menunjukkan pendirian masing-masing, kita perlu terima dalam demokrasi. Namun, jangan sehingga mencetuskan tindakan ganas yang boleh mencetuskan ancaman keselamatan terhadap individu-individu yang terlibat," katanya.

Pada Sabtu, viral di media sosial video menunjukkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang memakai baju Bersih 5 dikepung oleh sekumpulan peserta Baju Merah.

Pada mulanya penyokong Baju Merah tersebut menolak motosikal lelaki itu dan kemudian salah seorang peserta Baju Merah menendang lalu mereka melemparkan objek seperti botol dan telur ayam ke arahnya. 
 
 

Tiada ulasan: