Sabtu, 15 Oktober 2016

Larangan imigresen ditarik balik, Tony Pua kini boleh ke luar negara

tony pua

Oleh Syazana Hasanudin 


KUALA LUMPUR: Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua akhirnya dibenarkan kembali untuk ke luar negara oleh Jabatan Imigresen selepas lebih setahun dilarang berbuat demikian.

Perkara itu dinyatakan beliau dalam satu kemaskini di laman sosial Facebooknya hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu, peguamnya Gobind Singh Deo yang juga merupakan Ahli Parlimen DAP Puchong dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh Pejabat Peguam Negara.

“Saya telah dilarang ke luar negara sejak akhir Julai 2015 kerana siasatan polis berhubung kononnya saya terlibat ‘aktiviti memudaratkan Demokrasi Parlimen’, yang jika didapati bersalah akan dihukum dengan 20 tahun penjara.

“Saya baru memeriksa laman web Imigresen dan status saya sekarang adalah ‘Tiada Halangan”, jelasnya.

Pada 22 Julai tahun lalu, Tony mendapati beliau disekat daripada meneruskan perjalanannya ke Jogjakarta, Indonesia ketika berada di KLIA2 bagi menghadiri sebuah acara seni bagi Penang Arts District Project di sana.

Lebih mengejutkan, beliau diberitahu bahawa larangan itu adalah arahan ‘orang atas’.

Tony sebelum ini menyatakan beliau percaya sekatan itu berkaitan dengan kritikannya terhadap kontroversi penyelewengan mega syarikat milik Kementerian Kewangan, 1MDB.

Beliau kemudiannya mencabar perintah sekatan itu di Mahkamah Tinggi, namun mahkamah memutuskan ketua pengarah imigresen mempunyai kuasa menghalang seseorang daripada meninggalkan negara. – Roketkini.com


Tiada ulasan: