Isnin, 3 Oktober 2016

Kisah Zahid Hamidi dan Bersih 5


 
 Oleh Mohd Sayuti Omar


Pushhh... sehari dua ini sibuk sedikit, ada kerja besar dalam hidup saya - menulis dan menyiapkan buku terbaharu, pertama untuk tahun 2016. Tahun ini hanya tinggal dua bulan lebih sahaja lagi. 

Tahun Hijri pula sudah melangkah ke tahun baharu 1438. Sepanjang tahun ini (20016) saya belum menghasil atau menerbitkan apa-apa buku. Jadi saya kena penuh kelendar yang hampir ditutup ini.

Buku terakhir ialah; Nasib: Pas, Amanah dan Najib dalam PRU14. Buku itu terbit diakhir tahun lepas. Sedang elok selesai proses penerbitan berurusan dengan pencetak saya masuk wad, dan terpaksa melayan diri berbulan-bulan. Kerja rutin menerbitkan buku jadi tertangguh. Urusan pengedaran dan penjualan buku itu juga terjejas.

Alhamdulilah, dengan masa tersisa ada dua bulan setengah ini saya sedang menyiapkan buku mengenai analisis Piraum ke-14 di samping menduga dan memfirasatkan siapakah yang akan menjadi PM sebagai mengganti Najib Razak. Setakat ini penulisan lancar dan laju serta melekakan sehingga ada kala terabai makan dan minum telan ubat sekali.

Gara-gara itu sudah pasti blog dan media sosial lain tertinggal oleh saya. Isu pula banyak dan cepat berlalu bagaikan hujuh di awal Disember. Semua isu menarik untuk diulas, diberi pencerahan serta justifikasi mengikut laras pemikiran kita, saya.

Permainan dan percaturan politik bangsa kian kronik dan kronik.

Ada dua isu yang menarik perhatian saya dan perlu diulas tetapi kerana kengkangan masa ia terlepas atau hampir terlepas. Pertama isu penampilan Zahid Hamidi di persidangan PBB. Isu bahasa dan wibawa Zahid sebagai TPM.

Ucapannya panjang lebar dalam bahasa Inggeris. Penampilan Zahid berucap dalam bahasa Inggeris itu menjadi isu. Ada yang menyinis dan ada yang memuji Zahid. Ada yang kata bukan soal ketidakfasihan beliau dalam bahasa Inggeris perlu diketengahkan, tetapi isi ucapannya itu perlu dinilai.

Saya setuju soal ketidakfasihan bahasa Inggeris Zahid. Dia bukan berlajar dalam aliran Inggeris pun. Alirannya ialah bahasa Melayu sedikit Arab. Tidak seperti Najib belajar di luar negara atau seperti anak-anak bangsawan lain yang berpeluang mendalami bahasa Inggeris berfikir bahkan berbudaya Inggeris. Saya setuju juga apa harus dinilai ialah intisari ucapannya.

Dalam hal ini saya mengambil sikap berkecuali dalam dua keadaan itu. Bagi saya yang setuju sangat kalau bahasa Melayu dimartabatkan di arena antarabangsa. Cara memartabat itu selain daripada memurnikan sebutannya ialah menjadikan ia alat pertuturan menyampaikan hujah dan pandangan yang baik.

Kenapa Zahid tidak berucap dalam bahasa Melayu? Kenapa harus memilih bahasa Inggeris? Tidak ada alasan kalau hendak katakan pendengarnya (delegasi) tidak faham sebab ia ada penterjemah. Dalam hal ini bagi saya Zahid tidak mempunyai jatidiri yang kental mengenai bahasanya sendiri. Dia berasa rendah diri, tidak yakin dan berasa jatuh nilai kalau bertutur dalam bahasa Melayu.

Pemikiran Zahid masih lagi pemikiran lama yang tidak harus lekat kepada bakal PM.

Walhal Zahid patut menjual bahasa dan harga dirinya di sidang berkenaan. Belum pernah ada penutur dari Malaysia yang bercakap bahasa Melayu dalam sidang PBB? Semua bercakap dalam bahasa Inggeris. Selain mereka kebetulan mendapat dididikan Inggeris, mungkin mereka juga rasa rendah diri kalau berucap dalam bahasa Melayu. Seperti apa dialami Zahid itu. Maka walaupun sebutannya tidak betul tetapi janji dia boleh menyembur kata-kata tertulis dalam bahasa Inggeris.

Pada tahun 70an kalau tidak salah, pernah seorang wakil dari Malaysia yang mendapat peluang berucap dalam satu sidang PBB menggunakan bahasa Arab. Orang itu ialah Ibrahim Azmin, bekas wakil rakyat Kuala Nerus. Dia memang belajar di Arab, Ummu Qura Makkah. Hairan juga saya kenapa dia tidak mahu bercakap dalam bahasa Melayu sling Terengganu? Kalau itu boleh dibanggakan tentu ada kelainan penutur dalam sidang PBB, hanya itu sahajalah.

Mengenai isu Zahid dan bahasa Inggeris ini, saya sudah lepas komen sinis saya dalam twiter berbunyi: bahasa Inggeris Zahid sudah ada peningkatan. (Peningkatan di sini bunyi "idran" Jawanya kurang. Mungkin sebelum ke PBB dia sudah berlatih menyebut sling bahasa Inggeris ala PBB dengan rajin dan bersungguh. Lain kali kita mahu dengar Zahid berucap dalam bahasa Melayu di PBB pula seperti mana Seokarno dari Indonesia yang tidak pernah memperkecilkan bahasanya walaupun di mana dan di hadapan siapa pun beliau berpidato.

Demikian Karno yang berani dan tidak heran kepada mana-mana bangsa. Dia adalah petriotik yang sejati.

Bersih 5

Isu kedua menarik juga ialah mengenai road show pramula Bersih 5 yang diadakan di beberapa buah bandar besar pada hari Sabtu. Melihat kepada catatan dan pemasukan foto aktiviti itu di muka buku meriah sekali. Sambutannya rata-rata dalam skala kecil sahaja. Tetapi yang penting ia meriah dan menggambarkan rakyat sedia bangkit. Antara yang sempat dibaca road show atau dalam bahasa lain kerahan di buat di Perlis, Kota Bharu, Melaka, Pulau Pinang dan juga di Teluk Intan.

Majlis berjalan aman kecuali di Telok Intan ada provokasi  - DETIK DAILY

Tiada ulasan: