Selasa, 11 Oktober 2016

Khairy dedah cerita 'makan' cota FRU

N Faizal Ghazali


Jika hari ini nama Khairy Jamaluddin Abu Bakar gah sebagai menteri belia dan sukan,‎ siapa sangka suatu masa dulu beliau 'budak nakal' di kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Mendedahkan pengalamannya sebagai seorang penyokong tegar Kedah, Khairy pernah ditangkap pasukan polis simpanan persekutuan (FRU) gara-gara berlari ke padang di tadium Merdeka Kuala Lumpur pada 1990.

Katanya, ketika itu berlangsungnya perlawanan akhir Piala Malaysia melibatkan pasukan Kedah dan Singapura.

"Sebaik tamat perlawanan saya memanjat pagar dan berlari ke padang untuk meraikan kejayaan pasukan Kedah.

"Itulah kali pertama dan terakhir saya ditangkap dan dipukul FRU dengan cota," katanya ketika berucap di majlis Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara.

Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merangkap Presiden KFA.

Sementara itu mengulas mengenai majlis hari ini Khairy berkata pihaknya berasa gembira apabila KFA menjadi persatuan bola sepak negeri pertama memeterai perjanjian dengan PPBN.

"Semenjak 20015 PPBN menawarkan kerjasama dengan persatuan-persatuan bola sepak negeri dan kelab yang bernaung di bawah FAM untuk menyelaras semua inisiatif pembangunan bola sepak di negeri masing-masing," katanya.

Tambah beliau, MoU tersebut sekali gus membolehkan sistem pembangunan sukan PPBN dilaksanakan di Kedah sebagai Unit Pembangunan Bola Sepak KFA.

"Setakat ini PPBN mempunyai 20,000 pemain berusia antara tujuh hingga 17 tahun yang berlatih di 123 pusat latihan seluruh Malaysia," katanya.

Khairy juga memuji langkah KFA meletakkan nama seorang legenda pembangunan bola sepak Kedah dalam program mereka.

Beliau merujuk kepada tindakan persatuan terbabit menamakan sebuah akademi pembangunan bola sepak Kedah dengan allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil.

Ahmad Basri pernah berkhidmat sebagai pengurus pasukan bola sepak Kedah, selain menjawat tugas setiausaha kerajaan negeri.

Kedah mencatat banyak kejayaan semasa Ahmad Basri mengetuai KFA.

Kata Khairy pelbagai pihak mengakui jasa Ahmad Basri dalam sukan bola sepak begitu besar dan tidak hanya terhad di Kedah.

Anggota parlimen Rembau itu turut melancarkan logo rasmi Akademi Bola Sepak Datuk Ahmad Basri.

Tiada ulasan: