SHAH ALAM: Kementerian Pelajaran mahu tindakan diambil terhadap pegawai
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertanggungjawab dalam
insiden melibatkan pelajar dipaksa mengharungi kolam diletakkan ular.
"Saya harap APM akan siasat pegawai yang mengarahkan (letak ular itu)
supaya perkara ini tidak berlaku lagi," kata Timbalan Menteri Pendidikan
Datuk P Kamalanathan pada sidang media di Shah Alam, pada Selasa.
Terdahulu, satu video berdurasi hampir tiga minit tersebar di media
sosial menunjukkan sekumpulan murid perempuan meredah kolam yang
dimasukkan ular di dalamnya.
Kamalanathan yang melahirkan rasa kesal atas kejadian itu berkata,
pegawai APM tersebut sudah diberitahu oleh guru yang mengiringi pelajar
terbabit supaya tidak membuang ular ke dalam kolam semasa sesi bina
semangat tersebut.
"Tetapi pegawai itu kata jangan khuatir, ular itu tidak berbisa.
"Ini bukan isu (ular) bisa tak bisa tetapi ada trauma terhadap
kanak-kanak ini. Mereka budak kecil, masih sekolah rendah," kata
Kamalanathan.
Beliau juga mengesahkan sekolah tersebut sebelum ini telah menghantar
pelajar untuk menjalani latihan tetapi ini adalah kali pertama kejadian
seumpama itu berlaku.
"Biasanya mereka hanya akan meminta pelajar untuk lari melalui kolam, itu sahaja," katanya.
Sementara itu, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar dilaporkan telah
membuat laporan mengenai perkara itu dan siasatan sedang dijalankan.
Kamalanathan berkata, sekolah terlibat iaitu Sekolah Kebangsaan Beluru
juga diarahkan supaya berurusan dengan keluarga dan pelajar terlibat
bagi menjalani sesi kauseling.
"Kita sedang minta sekolah untuk berurusan dengan keluarga untuk sesi kaunseling kepada anak-anak yang terlibat.
"Ini pertama kali berlaku, memang APM beri kerjasama dengan kementerian
pendidikan di seluruh negara, tidak pernah ada masalah dan saya pasti
apa yang berlaku di Kuala Kangsar tidak akan lagi berlaku," katanya.
Sementara itu, empat jurulatih dan enam pembantu APM Kuala Kangsar itu
dilaporkan digantung serta merta daripada menjadi tenaga pengajar
program bina jati diri sehingga siasatan selesai.
Pengarah APM Perak, Kol Pertahanan Awam Mohd Noor Hassan Ashari
Sulaiman berkata pihaknya mendapati berlaku pelanggaran operasi standard
ketika berkenaan dijalankan.
Katanya, hasil maklumat awal yang diperoleh mendapati jurulatih
melempar dua ular sawa ke dalam kolam yang perlu dilalui oleh sekumpulan
pelajar perempuan.
"Pengurusan APM Pusat dan negeri sangat kecewa dengan kejadian ini
kerana jurulatih yang berada di tempat kejadian melanggar SOP sedia ada.
"Kegagalan untuk mematuhi SOP tidak sepatutnya berlaku dan kita akan
menjalankan siasatan terhadap kesemua mereka dan memastikan keadilan
serta hukuman setimpal diberi mengikut prosedur tatatertib APM," katanya
seperti dilaporkan Harian Metro Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan