Rabu, 12 Oktober 2016

Kembalikan kuasa kementerian yang diambil oleh JPM

MALAYSIA GAZETTE




Dewan Rakyat kembali bersidang pada 17 Oktober 2016 dan Bajet Negara 2017 akan dibentang oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak pada 21 Oktober.

Pada 5 Oktober lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan ingin menghapuskan pertindihan fungsi antara kementerian-kementerian dalam usaha untuk menguruskan perbelanjaan mengurus atau 'operating expenditure' (opex) dengan berkesan.

Badan pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) melihat kenyataan menteri tersebut secara positif dan ingin membangkitkan beberapa perkara berkaitan seperti berikut:

Pertama, ini merangkumi pertindihan fungsi agensi-agensi kementerian telah lama wujud dalam pentadbiran kerajaan.

Kedua, pelbagai pihak telah membangkitkan masalah berikutan pertindihan seumpama, khususnya kesan pertindihan terhadap tatakelola, pelaksanaan dan koordinasi dasar kerajaan sehingga menjejaskan keupayaan kerajaan menyelesaikan masalah yang berbangkit.

Ketiga, kerajaan sedang berdepan dengan era penurunan mendadak pendapatan daripada hasil sumbangan berkaitan petroleum dan produk petroleum.

Keempat, kutipan hasil cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada suku kedua tahun ini berkurangan sebanyak 30 peratus atau RM3.1 bilion, iaitu daripada RM10.2 bilion pada suku pertama 2016 kepada RM7.1 bilion pada suku kedua.

Dalam keadaan sedemikian, kenyataan Menteri Kewangan menonjolkan kebijakan dasar dan betapa kerajaan harus mengambil tindakan segera apabila Menteri Kewangan mengumumkan Bajet 2017 minggu depan.

Seperti yang dibangkitkan oleh Menteri Kewangan Kedua, pertindihan fungsi kementerian dan agensi berkaitan bukan sahaja menjejaskan tatakelola tetapi juga menyumbang kepada pelbagai bentuk pembaziran.

Dalam keadaan ekonomi hari ini, pembaziran adalah satu bentuk kegagalan keupayaan kerajaan yang begitu menonjol.

Tetapi apa yang tidak dibangkitkan oleh Menteri Kewangan Kedua ialah, penelitian kabinet pimpinan Perdana Menteri menunjukkan bahawa, Jabatan Perdana Menteri (JPM) merupakan kementerian yang paling banyak bertindih dengan kementerian-kementerian lain.

Sesungguhnya, terdapat satu trend di mana setiap Perdana Menteri baharu cenderung membentuk agensi baharu dan melakukan rombakan tertentu sehingga bilangan agensi JPM meningkat dan bertindih dengan agensi kementerian lain.

Trend ini begitu terserlah setelah Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Tun Mahathir Mohamad dan juga setelah Najib menggantikan Pak Lah.

Sesungguhnya, JPM adalah agensi utama yang mempunyai kontroversi di mana peranan JPM itu sendiri bertindih di antara pelbagai agensi dan kementerian.

Dengan demikian, JPM harus diteliti semula aktiviti-aktiviti dan bahagian yang berkenaan serta membuat penyusunan semula bagi mengatasi masalah pertindihan tersebut.

Jabatan Perdana Menteri terlalu besar.

Daripada penelitian terkini portal rasmi JPM , terdapat 93 entiti, merangkumi 58 jabatan, 15 badan berkanun, 14 syarikat, lima yayasan, dan satu pertubuhan antarabangsa di bawahnya.

Banyak ‘agensi’ JPM didapati memaparkan fungsi yang sama atau hampir sama dengan kementerian lain.
Penghapusan agensi tertentu, susun semula agensi-agensi tertentu dan pemindahan kuasa agensi-agensi tertentu daripada JPM kepada kementerian lain, bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah yang dibangkitkan oleh Menteri Kewangan Kedua, tetapi juga mengangkat kedudukan kementerian-kementerian tertentu yang agak tersisih, malah dapat mengembalikan kuasa kepada kementerian-kementerian tertentu yang sebelum ini bertanggungjawab terhadap bidang kuasa tertentu sehinggalah kuasa sedemikian dipindah ke JPM.

KPRU telah membuat kajian atas sejumlah besar ‘agensi’ di bawah JPM.

Berdasarkan butiran-butiran Bajet 2016, seperti mana yang ditunjukkan dalam Jadual KPRU di bawah, terdapat 12 ‘agensi’ yang didapati bertindih dengan agensi atau kementerian lain dan 10 ‘agensi’ kewujudannya boleh dipertikaikan apabila dibandingkan dengan agensi lain, atau kementerian lain, atau dipertimbangkan kontroversi fungsinya.

Jadual KPRU: ‘Agensi’ JPM yang bertindih dengan kementerian lain

Butiran
‘Agensi’ JPM
Bertindih dengan kementerian lain
Boleh dipertikaikan apabila dibandingkan
010300

010400

16200

16300
Kawal selia Felda

Seranta Felda

Projek Jalan Felda

Projek Sistem Bekalan Air Felda

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah;
Cadangan: Felda di bawah jagaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
010500


30000
Bahagian PERMATA

Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak (Early Childhood Care and Education-ECCE)
Kementerian Pendidikan
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
010900
Biro Tatanegara

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN);
Catatan: Biro Tatanegara satu agensi yang penuh dengan kontroversi
020000


020300
Unit Perancang Ekonomi (UPE)

Malaysian Development Institute (MDI)
Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU)
Cadangan: UPE wajar diutamakan berbanding PEMANDU
030000
Unit Penyelarasan Pelaksanaan (UPP)
Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan  (PEMANDU)
Cadangan: UPP wajar diutamakan berbanding PEMANDU
140000 & 140100
Bahagian Hal Ehwal Penguatkuasaan Maritim Malaysia (BHEPMM)

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM);
Persoalan: Apa beza Bahagian Hal Ehwal dengan Agensi?
160000, 530400, 540400 & 18000
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)

Bahagian Hal Ehwal Penguatkuasaan Maritim Malaysia (BHEPMM)
220000






230000
Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak (LPKP Sarawak)

Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP Sabah)
Kementerian Pengangkutan

270000
Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Kementerian Wilayah Persekutuan
330000




04200
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA)

Projek-projek PERDA

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
370000
Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU)
Unit Perancang Ekonomi (UPE)

390000
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)
Kementerian Pengangkutan

410000 & 83000
Malaysian Industry – Government Group for High Technology (MIGHT)
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
440000 & 92000
Agensi Inovasi Malaysia (AIM)
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

450000
TV AL-HIJRAH

Kementerian Komunikasi dan Multimedia
460000
Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU)

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
470000 & 90000
Talent Corporation Malaysia Berhad (TALENTCORP)
Kementerian Sumber Manusia

490000 & 00110
Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan

500000
Majlis Profesor Negara (MPN)

Kementerian Pendidikan Tinggi
540700





98000
NKEA – (Oil, Gas, Energy) (Malaysia Nuclear Power Corporation)

Malaysia Nuclear Energy
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air


Nota: ‘Agensi’ merujuk kepada entiti yang wujud, termasuk agensi, lembaga, bahagian, unit dan seumpamanya menurut konteks perbincangan artikel ini.
Sumber: Bajet Negara 2016

Sebagai contohya, PERMATA yang fokus dalam penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak bertindih dengan Kementerian Pendidikan yang bertanggungjawab dalam pendidikan awal atau prasekolah.

Oleh itu, PERMATA lebih sesuai diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menjaga kebajikan kanak-kanak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat atau di bawah Kementerian Pendidikan.

Pandangan pakar pendidikan wajar diambil kira sebelum keputusan dibuat.

Selain itu, PERDA adalah lebih sesuai diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang kini telahpun mempunyai lembaga-lembaga yang mirip dengan PERDA bagi negeri lain, iaitu Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga pernah berkata PERDA lebih sesuai dikendalikan oleh KKLW berikutan fokus utama agensi berkenaan yang menumpukan kepada projek pembangunan luar bandar dan wilayah.

Seterusnya, salah satu agensi yang sering dibincangkan adalah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). SPAD berlaku pertindihan dengan Kementerian Pengangkutan dalam hal ehwal kereta api (KTM, LRT, ERL) di Semenanjung Malaysia.

Melalui Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, SPAD telah mengambil alih Jabatan Keretapi Malaysia (beroperasi di Semenanjung), yang selama ini mentadbir melalui Akta Keretapi 1991.

Oleh itu, SPAD yang bertanggungjawab dalam hal ehwal segala kenderaan perdagangan darat lebih sesuai diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan untuk pemantauan pengangkutan awam dengan lebih berkesan.

Dengan perbincangan dan cadangan di atas, kami berharap masalah pertindihan fungsi kementerian dan agensi kerajaan dapat diselesaikan bagi mengembalikan kuasa kementerian yang telah diambil oleh JPM, melicinkan tatakelola kerajaan, dan yang penting memenuhi objektif penjimatan yang dibangkitkan oleh Menteri Kewangan Kedua.

Justeru, kami berasa cadangan ini harus dibawa ke Bajet Negara 2017 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Najib.

Dikeluarkan oleh,
Ooi Heng, Pengarah eksekutif KPRU.
-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: