Khamis, 20 Oktober 2016

Kami tidak takut diugut, Bersih 5 akan diteruskan, kata Maria

 
Maria berkata, ancaman itu tidak akan mengubah pandangan mereka terhadap skandal 1MDB, rasuah dan kepimpinan Najib.


Bersih5


KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 tidak gentar sekalipun berdepan “ancaman terburuk” dan himpunan Bersih 5 akan diteruskan mengikut jadual, kata pengerusinya, Maria Chin Abdullah.

Beliau tertanya-tanya apa yang dilakukan pihaknya untuk mendapat layanan sedemikian, kerana sebelum ini penyokong Bersih diganggu dan diserang ketika berkonvoi, serta beberapa aktivisnya menerima ancaman bunuh.

“Apa yang mereka tidak puas hati dengan Bersih sehingga sanggup melakukan keganasan politik begitu rendah?

“Bersih melihat ini satu ugutan dan keganasan politik, bukan sahaja terhadap saya tetapi juga Bersih.
Keganasan ini perlu dihentikan,” katanya di luar Bukit Aman, hari ini, selepas menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menyiasat “perbuatan keganasan” itu.

Terdahulu, hari ini, kereta anak lelakinya disimbah cat merah dan darah ayam.

Maria berkata, rakyat tidak perlu takut dengan apa yang berlaku dan menggesa mereka menyertai perhimpunan Bersih 5 yang dijadualkan berlangsung 19 November nanti.

“Ini tidak akan mengubah pandangan kami daripada isu sebenar seperti skandal 1MDB, rasuah dan kepimpinan Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak),” katanya sambil menambah Bersih akan meneruskan rancangan mereka.

“Kita tidak akan berhenti berjuang untuk pilihan raya bebas dan adil serta kerajaan yang bersih. Kita mesti tunjukkan kepada kerajaan kami tidak takut dan kami mahukan perubahan. Ugutan dan keganasan politik tidak ada tempat dalam demokrasi.”

Peguam, Ambiga Sreenevasan menggesa pemimpin untuk bersuara mengenai perbuatan keganasan seperti itu, memandangkan ketua polis negara dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih mendiamkan diri berhubung itu terbabit.

“Kami ingin tahu adakah keganasan sedemikian diterima dalam masyarakat kita?” soal aktivis itu.
Selasa lalu, Maria menerima ugutan bunuh daripada seorang individu melalui WhatsApp berhubung himpunan Bersih 5.

Ancaman itu dalam bentuk hukuman IS di mana seorang lelaki berbaju hitam mengacukan pedang ke leher Maria, Ambiga dan Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0, Mandeep Singh.

Sebelum ini, Mohd Ali Baharom yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju memberi amaran kepada Maria untuk berjaga-jaga atau beliau mungkin tidak akan berjalan di bumi ini lagi, selepas mengumumkan rancangan mengadakan himpunan Bersih 5.

Tiada ulasan: