Ahad, 16 Oktober 2016

JKKKP kena peka, sensitif isu semasa

 
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada majlis penyampaian Anugerah Desa Sejahtera 1 Malaysia (ADS1M) di Maeps, Serdang. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 16 OKTOBER 2016.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada majlis penyampaian Anugerah Desa Sejahtera 1 Malaysia (ADS1M) di Maeps, Serdang. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR
 
 

Peranan ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) penting bagi membantu kerajaan meneruskan pembangunan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, golongan pemimpin itu kini perlu berfikiran jauh dalam membantu menyelesaikan pelbagai isu selain dapat meningkatkan taraf hidup di kawasan masing-masing.

Justeru jelasnya beliau, JKKK dan JKKKP perlu lebih agresif dan berganding bahu mendekati rakyat bagi membela nasib mereka.

"Bukan sekadar asyik minta projek. Wakil rakyat datang, minta projek. Menteri datang, minta lagi projek. Perdana Menteri, datang minta besar lagi projek. Kerajaan mahu wujud pemikiran baharu apabila JKKK dan JKKKP ada inisiatif untuk menyelesaikan pelbagai masalah.

"Contoh, wujudnya penyebaran kes virus Zika atau denggi. Bagaimana JKKK dan JKKKP dapat memastikan kampung mereka bersih daripada wabak itu. Selain itu, MyFarm Outlet yang diperkenalkan oleh kerajaan yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat kampung.

"Jadi JKKK dan JKKKP kena sentiasa peka dan sensitif dengan isu semasa dan manfaat yang boleh direbut. Itu yang kerajaan mahu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) di Serdang petang tadi.

Najib turut menyampaikan hadiah kepada pemenang sebanyak empat kategori ADS1M. Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kerajaan komited untuk memastikan masyarakat luar bandar tidak terus terpinggir serta ketinggalan dalam arus kemodenan negara.

Tegasnya, pembangunan yang lebih menyeluruh dan bersepadu amat penting dari segi akses kemudahan infrastruktur yang berkualiti dan peluang menjana ekonomi sara diri.

"Program Transformasi Kerajaan (GTP) dari tahun 2010 hingga 2015, kerajaan telah berjaya membina lebih 5,268 kilometer (km) jalan raya.

"Kerajaan yang kerajaan bina ini tidak sampai tempoh enam tahun adalah hampir sama panjangnya dengan keseluruhan Sungai Amazon yang sepanjang 6,800 km di Amerika Selatan," katanya.--MalaysiaGazette


Tiada ulasan: