Khamis, 20 Oktober 2016

Isu tanah Paya Indah Wetland, SELCAT beri jawapan muktamad

img_2456

Roketkini.com


SHAH ALAM: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, dan Ketelusan (SELCAT) mengesahkan bahawa tanah Lot 68054, Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat tidak termasuk dalam kawasan pewartaan Paya Indah Wetland seperti yang didakwa beberapa pihak.

Pengerusi SELCAT, Hannah Yeoh berkata, kawasan yang diwartakan sebagai Paya Indah Wetland hanya melibatkan Lot 3974 dengan keluasan 389.91 hektar dan Lot 4827 (60.85 hektar).

Maklumat itu, katanya, diperolehi hasil daripada penerangan dan taklimat berhubung isu berkenaan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, dan beberapa agensi berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor, Pejabat Daerah (Tanah Kuala Langat) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

“Lot 68054 asalnya merupakan tanah milik Kerajaan Negeri. Namun, pada tahun 1994, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional ketika itu pula telah pun memindah milik tanah tersebut kepada tanah milik persendirian,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Pada 1996, kerajaan negeri yang ditadbir BN telah memberikan kelulusan untuk meminda syarat nyata dan jenis kegunaan tanah daripada pertanian kepada bangunan perumahan atau perusahaan ringan terhadap tanah Lot berkenaan.

Namun pada 2004, kelulusan bersyarat untuk menukar status tanah Lot itu daripada pertanian kepada pembangunan bercampur tidak berlaku ekoran pemiliknya tidak menjelaskan bayaran cukai tanah premium.

Malah, 10 tahun kemudian, syarikat pemaju, Salak Land Development Sdn Bhd telah membuat permohonan sekali lagi bagi menukar syarat tanah Lot berkenaan tetapi ditolak kerana tidak selaras dengan pelan Rancangan Tempatan 2020.

Pemilik tanah Lot itu juga telah membuat permohonan untuk mengubah Rancangan Tempatan Kuala Langat 2020 bagi Lot 68054 dan agensi berkaitan telah mengesahkan bahawa pengubahan berkenaan dilakukan mengikut proses yang diperuntukkan.

Pada awal tahun lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan permohonan mengubah status tanah Lot berkenaan kepada bangunan kediaman seperti syor yang dikemukakan PTG Selangor.

“Kesimpulannya, Lot 68054 tidak termasuk dalam kawasan Paya Indah Wetland yang telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri dan proses penukaran status tanah daripada pertanian kepada bangunan kediaman telah dilakukan mengikut proses yang diperuntukkan,” ujar Hannah Yeoh yang juga merupakan Adun DAP Kawasan Subang Jaya.

Sebelum ini, Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin seperti dilapor media mendakwa kononnya tanah Lot dengan keluasan 619 hektar itu diwartakan dalam kawasan Paya Indah Wetland. – Roketkini.com


Tiada ulasan: