Ahad, 16 Oktober 2016

Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS meriah, gegar bumi Melaka

DR RIDUAN MOHAMAD NOR






Ribuan anak muda, bahkan pelbagai lapisan umur masyarakat telah memeriahkan negeri Melaka yang bersejarah. Tanah bersejarah yang menerima Islam dengan usaha keras pendakwah daripada Makkah, Sayyid Abdul Aziz, mengislamkan raja Melaka seterusnya angin sejahtera Islam telah menyapa seluruh rakyat dan tanah jajahan. Melaka telah menggubal perundangan Islam untuk dilaksanakan melalui hukum kanun Melaka dan Undang-undang Melaka, sehingga seluruh Tanah Melayu dipayungi oleh perundangan Syariah.

Melaka pada kali ini bertuah kerana dipilih menjadi tuan rumah ijtimak tarbawi oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia, sebuah program tahunan yang dihidupkan di zaman Ustaz Nasruddin Hassan dimana budaya ijtimak sebenarnya sangat rancak dalam PAS dalam dekad 80-an. PAS menggera kkan budaya ijtimak di awal abad 15 hijrah, juga terkesan daripada parti Islam ini yang kehilangan pengkalan kuasanya, Kelantan pada tahun 1978.

Dewan Pemuda PAS di semua peringkat, Dewan Ulamak antara yang dikesan banyak menganjurkan ijtimak dengan pelbagai jenama seperti Ijtimak Mustad'afin, Ijtimak 'Alami, Ijtimak Kebangkitan Islam, Ijtimak Ulama dan pelbagai nama lain. Program ijtimak bertujuan menghimpunkan ahli, menyemai ukhuwwah, memintal kebersamaan, mengisi ruang akal dengan pengisian. PAS sebagai gerakan Islam yang prominen dalam dunia kontemporari, tidak pernah meninggalkan juzuk tarbiah dalam segmen perjuangan mereka.

Ijtimak tarbawi merupakan reinkarnasi pembudayaan tajnid (kaderisasi dakwah) yang hangat berjalan dalam dekad 80-an. Ustaz Nasarudin Tantawi meniup wisel di zamannya menjadi Ketua Pemuda Pusat di mana Ustaz Nik Abduh menjadi Pengerusi Lujnah Tarbiah. Rusila yang hangat menjadi tuan rumah yang pertama penganjuran, lebih 10,000 anak muda membanjiri dataran masjid dan masjid. Pantai yang berjajaran putih dengan kerlipan bintang di dada langit menyambut tetamu yang datang daripada seluruh negara. Di pentas ceramah tarbawi juga menyambut wakil maktab irsyad Ikhwanul Muslimin, peserta-peserta ralik mengunyah ilmu daripada penulis kitab Tafsir at Tibyan.

Ijtimak di Rusila juga menyaksikan kali terakhir murabbi PAS, almarhum Ustaz Yahya Othman muncul di ijtimak tarbawi. Wajah hening bersih itu seolah tidak mahu berpisah dengan para peserta. Beliau tidak meninggalkan kerusi belakang, memandang peserta dengan wajah yang sayu dan penuh bahagia.

Ijtimak Tarbawi kedua di KUIZM, Taman Melewar bertambah meriah dengan banjiran anak muda. Keterujaan peserta jelas kelihatan apabila Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Sheikh Mehdi Akif memberikan taujihat kepada mereka dengan penuh saranan bermakna.  Antara yang dijemput ialah Prof Dr Kamal Helbawy, yang merupakan pemikir Islam, manakala peserta ijtimak bertalaqi kitab dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ijtimak tarbawi ketiga telah diadakan di Pagoh, Johor pada bulan Oktober 2013, walaupun jauh di selatan tanah air, namun tak menghalang ribuan anak muda berkampung di kawasan premis pendidikan yang diasaskan oleh Dr Mahfoz Mohammad, ketua Dewan Ulamak PAS Pusat. Tanah ditanam uri Umno pada tahun 1946 itu gempar dengan bondongan anak muda berketayap ke wilayah mereka, ijtimak tarbawi di Pagoh juga dimeriahkan dengan dendangan nasyid kumpulan UNIC.

Perkampungan Yayasan An Nahdhoh Pulau Pinang menjadi tapak Ijtimak Tarbawi kali keempat pada tahun 2014, menyaksikan lebih sepuluh ribu hadir semasa acara talaqi kitab oleh Tuan Guru Presiden. Seberang Prai semenjak dahulu subur dengan majlis-majlis ilmu terutama pasca Perang Dunia Pertama, jamaah haji menekuni kitab-kitab tua di madrasah, masjid dan halaqah ulama. Kali ini ijtimak sangat ramai penyertaan masyarakat umum yang datang memeriahkan acara talaqi kitab Tafsir at-Tibyan.

Pada tahun 2015, ijtimak tarbawi tidak diadakan kerana jentera pemuda memberikan fokus pada himpunan FASTAQIM di Kota Bharu. Himpunan FASTAQIM adalah tindak balas semerta kepada kewujudan parti serpihan PAS yang ditubuhkan oleh pecundang muktamar kali ke-61 dengan kolaborasi alumni IRC/JIM.

Melihat sambutan seteguh banjaran gunung peserta-peserta ijtimak tarbawi di Melaka pada kali ini, penulis yakin dan percaya bahawa masa depan perjuangan Islam di negara ini sangat cemerlang. Anak-anak muda dengan energi yang mantap, iltizam yang tinggi, semangat yang membara serta keimanan yang mapan inilah akan menjadi penerus legasi perjuangan PAS, walau dihujat kebencian oleh para pembenci. Maju terus anak-anak muda Islami! - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: