Selasa, 11 Oktober 2016

Hashim 'mata rantai' perjuangan PAS - Hadi Awang

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Hashim Jasin adalah 'mata rantai' yang akan menyambung perjuangan asal PAS, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Justeru, Hadi berkata dengan pelantikan Hashim sebagai Mursyidul Am PAS yang baru akan terus memperkukuhkan parti itu mendepani hiruk pikuk politik mendatang.
 
Hashim diamanahkan untuk mengisi kekosongan jawatan itu selepas penyandangnya, Allahyarhanm Datuk Dr Haron Din meninggal dunia pada bulan lalu akibat komplikasi jantung.
 
"Hashim menjadi ahli Majlis Syura sejak mula ditubuhkan, maka telah ditentukan sepatutnya oleh Majlis Syura secara ijmak supaya mengambil tugas yang terpenting ini bagi meneruskan perjalanan PAS agar sentiasa beritiqamah di atas dasar, pendekatan dan mencapai matlamat dunia dan akhirat bersama hidayah dan ilmu yang disertakan amalan penuh berkat," kata Hadi menerusi kenyataan medianya, hari ini.
 
Hashim merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Perlis, pernah menjadi ADUN Sanglang dan kini sebagai Ahli Majlis Syura Ulama PAS.
 
Sebelum ini dikatakan PAS akan melantik Timbalan Mursyidul Am, Datuk Ahmad Yakub ke jawatan itu, namun ditolak kerana mahu memberi laluan kepada individu yang lebih layak, apatah lagi beliau amat sibuk dengan komitmennya sebagai Menteri Besar Kelantan.
 
Pemerhati politik melihat pelantikan Hashim ini akan memberikan cabaran besar buat beliau dalam meneruskan kesinambungan pendekatan Allahyarhan Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Allahyarham Haron, sementelah dua tokoh agamawan itu sudah menetapkan kayu ukur yang tinggi untuk jawatan itu.
 
Perkiraan Hashim dalam isu-isu berbangkit PAS termasuk soal kerjasama bersama parti-parti pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, dijangka menjadi perhatian banyak pihak.
 
 

Tiada ulasan: