Selasa, 4 Oktober 2016

Hadi jadi mursyidul, Tuan Ibrahim pangku presiden Pas

 
 Abdul Hadi Awang

Abdul Hadi Awang


Siapa Mursyidul Am Pas yang baharu masih menjadi teka-teki?

Sejak Allahyarham Datuk Haron Din meninggal dunia di Amerika Syarikat jawatan spritual parti Pas itu dipangku oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yakob.

Bagaimanapun, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan menyatakan tidak mahu jawatan berkenaan dan lebih selesa kekal sebagai timbalan.

Walaupun penolakan Ahmad itu sebagai alasan sebagai orang beragama yang tidak berebut jawatan seperti kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan tetapi ramai melihat Ahmad belum lagi sesuai menjawat jawatan berkenaan.

Bukan tidak layak tetapi ramai melihat calon paling sesuai selepas Haron ialah Presiden Pas sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jawatan itu penting kepada parti Pas kerana ia menjadi rujukan hidup kepada ahli dan hala tuju Pas mendepani cabaran semasa.

Menurut sumber, selepas tokoh agama dan politik seperti Allahyarham Haron dan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, pemegang jawatan itu mesti susuk yang agak berusia, tinggi ilmu agama dan luas pengalaman politiknya.

Justeru, ramai melihat Abdul Hadi calon paling layak dan berkredibiliti.

Beliau berpengalaman dalam parti Pas - sejak zaman Amanat Haji Hadi sehingga pendekatan politik matang Pas dalam Gagasan Sejahtera hari ini.

Dalam pentadbiran, beliau sudah lama menjadi wakil rakyat dan pernah menjadi Menteri Besar Terengganu dan menjadi orang nombor dua dalam Persatuan Ulama Sedunia selepas Yusuf Al Qardhawi.

Ramai melihat kekosongan itu perlu diambil oleh Abdul Hadi sebagai individu yang banyak menggerakkan Pas daripada sudut tenaga kerohanian.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan kesihatannya yang semakin tidak mengizinkan lagi beliau sibuk ke merata-rata tempat memenuhi tuntutan parti seperti biasa.

Dewan Ulama Pas pun dilihat tidak memberi sebarang bantahan sekiranya Abdul Hadi dilantik malah dijangka memberi sokongan sepenuhnya.

Sekiranya Abdul Hadi menjadi Mursyidul Am Pas secara otomatik jawatan presiden akan dipangku oleh timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim dan Abdul Hadi boleh memangku jawatan itu sehinggalah disahkan oleh muktamar parti akan datang, menurut sumber.

Satu lagi dengan memberi kuasa presiden kepada Tuan Ibrahim, Pas dapat dijamin mengutamakan kepimpinan ulama dan memberi ruang dan keselesaan kepada pemimpin Pas Pahang itu ruang untuk beraksi lebih banyak sekiranya menjadi pucuk pimpinan utama parti.--MalaysiaGazette


Tiada ulasan: