Isnin, 17 Oktober 2016

Giliran PAS pula pimpin pemikiran pembangkang?

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
 
[ULASAN] Negara yang paling bangga dengan amalan demokrasi mereka ialah Amerika Syarikat. Ia mengamalkan sistem saingan dwi-parti yang boleh dianggotai rakyat dari semua lapisan masyarakat.
 
Atas nama hak kebebasan bersuara dan kesamarataan parti Republikan dan Demokrat bersaing sejak berdekad-dekad lalu untuk membuktikan bahawa sistem demokrasi adalah ideologi politik terbaik di dunia.
 
Namun itu pandangan di segi teori sahaja. Tuntutan dan rungutan tentang pilih kasih dan perbedaan warna kulit dan pegangan agama masih lantang kedengaran hingga ke hari ini. 
 
Sungguhpun begitu di Malaysia masih ramai lagi pengkagum barat yang meremehkan amalan demokrasi di negara ini dan cuba merabunkan pandangan terhadap amalan sebenar demokrasi baik di Amerika mahupun Britain.
 
Malah sejak dua dekad lalu sudah ada gerakan untuk mewujudkan sistem demokrasi dwi-parti di Malaysia. Yang nyata satu sisi atau unsur sistem ini -Umno-BN - sudah lama wujud dan mengungguli sistem politik Malaysia. 
 
Yang hendak dizahirkan ialah kemunculan sebuah lagi entiti politik untuk menyaingi Umno-BN. Sejak 2008 lagi parti-parti pembangkang cuba membentuk pakatan yang utuh bagi mengisi hasrat 'menghayati' sepenuhnya demokrasi.
 
Riak ke arah itu semakin mendekati hasrat pembangkang. Pada pilihan raya umum (PRU) 2008 dan 2013, strategi berkelompok atas nama Pakatan Rakyat berjaya menafikan Umno-BN majoriti dua pertiga kerusi parlimen. 
 
Bagaimanapun menjelang PRU ke-14 dalam tempoh kurang dua tahun, nampaknya hasrat mengukuhkan strategi 'satu lawan satu' atau sistem dwi-parti ini nampaknya semakin banyak berhalangan.
 
Ini kerana dua tahun lalu, Pakatan Rakyat yang menggugat Umno-BN dalam dua PRU lalu diisytiharkan bubar. Ia dilakukan oleh parti dominasi Cina, iaitu DAP kerana sudah 'tidak sebulu' dengan PAS di segi aspirasi dan halatuju politik.
 
PAS memberi reaksi memutuskan tahaluf atau kerjasama politiknya dengan DAP.
 
Namun tahun lalu PAS dirobek oleh beberapa pemimpinnya yang keluar parti dan membentuk Parti Amanah Negara atau Amanah.
 
Parti Amanah segera menyantuni PKR dan DAP dan membentuk Pakatan Harapan. PAS pula memilih berganding dengan Parti Ikatan Rakyat (Ikatan) membentuk satu lagi blok politik – Gagasan Sejahtera. 
 
Hasrat Amanah dan DAP ialah, PAS jangan kembali lagi kepada pakatan mereka bersama PKR. Amanah bersedia ambil alih tempat PAS. Sementara PAS pula melaungkan ia tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah, selamanya. 
 
Sungguhpun PKR masih mengusap-usap kerjasama dengan PAS (sekurang-kurangnya dengan PAS di Selangor), parti itu juga mendedahkan ia sudah banyak kali dikhianati oleh PAS.
 
Dua blok politik tidak mungkin ada di Malaysia?
 
Yang pasti kemungkinan cuma ada dua blok politik ala-demokrasi Amerika tidak akan berlaku di Malaysia. Harapan ini semakin suram apabila ada parti baru – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyelit masuk kem pembangkang.
 
Baik Pakatan Harapan mahupun Gagasan Sejahtera menzahirkan kesediaan untuk bekerjasama dengan PPBM yang diteraju mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad. 
 
Malah Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan diri untuk merapat dan memujuk PAS turut menjayakan kempen 'satu lawan satu' atau pemantapan blok politik kedua.
 
Nampaknya pihak pembangkang insaf bahawa kegagalan merealisasikan impian sistem dwi-parti akan memalapkan harapan untuk menumbangkan monopoli kuasa Umno-BN.
 
Namun PAS tidak makan pujuk. Ia sedar sejak PRU 12 dan ke-13 lagi Pakatan Rakyat memanfaatkan jentera pilihanrayanya sepenuhnya. PAS yakin, dan rakyat pun memang sedar akan keberkesanan mekanisme pilihanraya PAS. 
 
Kini apabila perbezaan pendekatan dan falsafah politik sebenar di antara PAS dengan DAP, PKR dan Amanah begitu ketara, adalah sukar dijangka bahawa PAS mahu kembali merujuk pada sekutu lamanya.
 
Falsafah dan amalan politik PAS nampaknya semakin menjarak jauh daripada perangai DAP dan PKR. Ia mahu mengamalkan prinsip politik Islam. Lantas PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang mahu pada Islam.
 
Mengamati mudarat kebangkitan Arab atau 'Arab Spring' di Timur Tengah yang berakhir kacau bilau berpanjangan di Mesir, Libya, Tunisia, Iraq dan Syria, PAS dengan jelas tidak mahu menyusuri strategi politik jalanan.
 
Bagi PAS merintis jalan 'Arab Spring' akan menyempitkan lagi peluang Islam memimpin umat Malaysia. Ia lebih yakin bahawa paling penting ialah setiap rakyat disedarkan hak demokrasi mereka dan tidak dikelirukan hasutan.
 
Falsafah politik matang dan sejahtera PAS wajar dicontohi pembangkang  
 
Menilik kecenderungan pembangkang yang gigih menghasut rakyat supaya meremehkan apa jua sistem pentadbiran kerajaan sedia ada, falsafah politik matang dan sejahtera PAS mendorongnya menjarakkan diri dari pembangkang.
 
Bagi PAS sistem dwi-parti di Malaysia terbukti gagal menghayati hak asasi dan kebebasan beragama dan bersuara rakyat berbilang kaum. Sebalik ia cuma dijadikan senjata politik pembangkang.
 
Amalan politik dwi-parti di Amerika Syarikat masih dibelit masalah perkauman dan Islamofobia tebal. Jika ia gagal di Amerika, natijahnya tentu lebih buruk di Malaysia di mana kebanyakan parti politik berasas sentimen perkauman.
 
Pembangkang Malaysia menggunakan media sosial sepenuhnya untuk kempen memburukkan kerajaan. Daripada penulis blog secara individu sehingga portal-portal berita, media maya memfitnah kerajaan atau individu dalam kerajaan. 
 
Ini lazimnya dilapik dengan sindiran keagamaan dan perkauman yang menular hingga luar gelanggang maya. Misalnya, meskipun tidak diizin pihak berkuasa, pembangkang masih mahu meneruskan demonstrasi jalanan.
 
Meskipun sentimen majoriti rakyat kurang selesa dengan pendekatan pembangkang ini, perhimpunan Bersih 5.0 masih mahu dilangsungkan juga bulan hadapan.
 
Seharusnya tindakan ini dilihat sebagai cabaran pada sentimen majoriti rakyat pelbagai kaum. Matlamatnya ialah mengumpan tindak balas pihak penyokong kerajaan agar boleh dijadikan dalil pemerintah gunakan kekerasan.
 
Provokasi ini terjawab. Ada kumpulan atau Gerakan Baju Merah yang berazam menentang Bersih 5.0. Jika dibiarkan, pendekatan politik ini akan meninggalkan natijah lebih buruk berbanding masalah perkauman di Amerika Syarikat. 
 
PAS masih menganggap dirinya pembangkang. Ia masih menyimpan hasrat untuk menumbangkan Umno-BN. Namun ia tidak serasi dengan pendekatan PKR, DAP, Amanah dan mungkin PPBM. Ia mahu persaingan lebih sejahtera.
 
Mungkin ada kewajarannya untuk PAS kini mengambil inisiatif mengurangkan suhu politik di negara ini dengan menyediakan forum bagi parti-parti pembangkang bertemu, berbincang dengan ikhlas mencari jalan keluar.
 
Falsafah politik  matang dan sejahtera PAS seharusnya boleh menyuluh bagaimana pembangkang boleh 'menarik rambut dalam tepung; rambut tak putus dan tepung perpaduan rakyat' tidak berselerak.

Tiada ulasan: