Isnin, 17 Oktober 2016

Fenomena air pasang besar pagi ini terkawal

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Keadaan beberapa negeri yang dilanda fenomena air pasang besar sejak awal pagi ini rata-rata dilaporkan masih terkawal.
 
Walaupun limpahan air yang berlaku sejak awal pagi menyebabkan beberapa keluarga terpaksa dipindahkan di beberapa tempat, namun keadaan setakat ini tidak membimbangkan selain pihak berkuasa sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan. 
 
Di SELANGOR, sebanyak 321 orang daripada 75 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir berikutan fenomena itu yang berlaku mulai pukul 3 pagi hingga 5.40 pagi ini.
 
Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor, Kolonel Ahmad Afandi Mohamad berkata tiga pusat pemindahan berkenaan adalah di Dewan Serbaguna, Kampung Tok Muda, Kapar, dan Dewan Sungai Air Tawar serta Dewan Parit Baru di Sabak Bernam. 
 
Limpahan air turut berlaku di Pantai Batu 23 Sabak Bernam dan Kampung Bagan, Sekinchan, namun keadaan tidak membimbangkan manakala ban pasir di Batu 5, Jalan Kapar pecah menyebabkan berlaku limpahan air ke daratan, namun situasi di sana turut terkawal.
 
Di PERAK, air pasang mula naik secara berperingkat di Kampung Bagan Panchor, Pantai Remis mulai pukul 2.30 pagi menyebabkan ban yang dibina pecah selain jalan utama dinaiki air sepanjang 300 meter. 
 
Selain itu, 15 daripada 60 buah rumah di kawasan berkenaan turut dinaiki air setinggi kira-kira 0.75 meter, namun tiada pemindahan dilakukan dan air mula surut pukul 7.30 pagi ini. 
 
Di Bagan Datoh, lima kawasan dinaiki air kira-kira pukul 4 pagi tadi, namun tiada kediaman yang terjejas, kata Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Bagan Datoh Datuk Hamzah Hussin.
 
Beliau berkata kawasan terjejas termasuk Bagan Ikan, Bagan Sungai Burung, Bagan Sungai Tiang, Bagan Lipas dan Bagan Pasir Laut. 
 
Di PULAU PINANG, tinjauan di Kampung Manis, Perai mendapati air mula naik separas 0.3 meter kira-kira pukul 1 pagi tadi.
 
Pengerusi Bertindak Masalah Banjir Kampung Manis Mohd Iqbal Kadir Ghani berkata setakat ini, belum ada penduduk yang dipindahkan dan pihaknya dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat pemantauan berterusan. 
 
Turut dilaporkan terjejas ialah Kampung Telok Ipil di Nibong Tebal yang dinaiki air kira-kira 0.2 meter namun setakat ini tiada penduduk dipindahkan kecuali jika keadaan air mencapai paras amaran 2.8 meter pada tengah hari ini.
 
Di PERLIS, sebanyak 28 kawasan berisiko antaranya di Kampung (Kg) Pulau Ketam, Kg Tengah, Kg Tandiap, Kg Seberang Alor, Kg Seberang Tok Pi dan Kg Puju dijangka dilimpahi air laut di sepanjang persisiran pantai Kuala Perlis mulai esok hingga Selasa ini. 
 
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis Mej (PA) Mohd Farid Ishak berkata air pasang tertinggi di pesisir pantai Kuala Perlis ialah pada pukul 12.30 tengah malam tadi mencecah 3.3 meter manakala ketinggian ombak dijangka melepasi 3.5 meter esok dan lusa yang melepasi tembok penghadang dan boleh menyebabkan banjir kilat. 
 
Di KEDAH, keadaan turut dilaporkan terkawal dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tikam Batu masih belum menerima sebarang panggilan kecemasan daripada penduduk di sekitar pantai sehingga 10 pagi tadi. 
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu Mohd Razmi Abd Rashid berkata namun, pihaknya menjalankan persediaan dengan mengadakan simulasi dan rondaan di sekitar kampung yang berkemungkinan terjejas sekiranya air pasang besar berlaku.
 
Katanya, 27 anggota ditempatkan di kawasan tersebut dengan dua bot dan sebuah jentera juga berada dalam keadaan siap sedia. 
 
Di JOHOR, fenomena air pasang besar setakat pagi tadi turut menjejaskan beberapa daerah termasuk Muar, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru, Kota Tinggi dan Mersing.
 
Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mejar Nurrul Azle Ab Jabar berkata walaupun keadaan masih terkawal, namun pemantauan tetap ditingkatkan di beberapa lokasi berisiko bagi menghadapi sebarang kemungkinan. 
 
Peningkatan pemantauan itu melibatkan penambahan sebanyak 60 anggota APM yang bertugas di kesemua daerah yang terjejas, katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Kawasan yang terlibat ialah pesisir pantai Johor Bahru dengan jangkaan bacaan meter sehingga 3.9 meter, Tanjung Langsat (3.5 meter), Tanjung Pelepas (3.5 meter), Pasir Gudang (3.5 meter), Pulau Pisang (3.5 meter), pesisir Pantai Endau (3.4 meter), Sungai Belungkor (3.3 meter), Kuala Batu Pahat (3.2 meter), Mersing (3.2 meter) dan Tanjung Sedili (3.0 meter). 


Tiada ulasan: