Isnin, 17 Oktober 2016

Dua rakan suspek kes tikam pegawai JPJ ditahan

 
 
Polis masih memburu suspek kes tikam anggota JPJ di Terengganu semalam
Polis masih memburu suspek kes tikam anggota JPJ di Terengganu semalam
 
Polis Terengganu menahan dua lelaki, dipercayai rakan suspek kes tikam mati seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPK) Kelantan.

Dua lelaki itu, masing-masing berusia 27 tahun dan 55 tahun ditahan di sekitar Manir dan Kampung Buluh, Terengganu pada jam 4.30 petang dan 4.45 petang semalam, iaitu kira-kira lima jam selepas kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, seorang daripada lelaki itu ialah pemilik kereta Honda Civic yang dinaiki suspek pada hari kejadian, manakala seorang lagi adalah bapa saudaranya.

"Mereka ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang pegawai JPJ dari Pengkalan Kubor, Kelantan," katanya kepada media hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Muhamad Shukri Husin, 34, ditikam sebanyak enam kali di bahagian dada dan leher oleh suspek yang juga bakal adik iparnya ketika bertengkar di pekarangan Kompleks Seri Iman, Terengganu.

Suspek yang berusia 29 tahun dan bekerja sebagai tukang rumah dikatakan berang apabila status perkahwinannya terbongkar dan cuba memberi alasan sudah bercerai, sebelum merancang berkahwin dengan adik mangsa.

Bagaimanapun, mangsa tidak berpuas hati dan tercetus perbalahan antara kedua mereka di tempat letak kereta kompleks berkenaan.

Suspek kemudian dikatakan mengeluarkan sebilah pisau yang disimpan dalam kereta Honda Civic yang dinaikinya lalu menikam mangsa bertubi-tubi.

Menurut Wan Abd. Aziz, kedua-dua lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan.

"Polis meningkatkan gerakan memburu suspek yang dipercayai masih berada dalam negeri," katanya. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: