Isnin, 17 Oktober 2016

Dapatkan lesen perniagaan, elak permit disita

OLEH SYASYA SUFIAN


SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyarankan peniaga mendapatkan lesen perniagaan sebelum tindakan tegas diambil ekoran kewujudan penjaja tanpa lesen yang semakin berleluasa.

Ketua Komunikasi Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, apa juga perniagaan yang dijalankan perlu mendapatkan lesen untuk mengelakkan berdepan sebarang masalah termasuk gerai disita.

“Kita menyediakan ruang dan peluang kepada orang ramai untuk menjalankan aktiviti perniagaan seperti di pasar malam, pasar pagi, kiosk, gerai dan penjaja sementara.

MBSA03

“Namun, pemohon perlu mengisi borang permohonan di jabatan pelesenan MBSA yang akan dikaji oleh jawatankuasa mengkaji dan memproses permohonan lesen,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, syarat permohonan dan dokumen perlu dilampirkan seperti kad pengenalan, bil cukai taksiran, bil elektrik serta lokasi tapak bersesuaian dan borang yang perlu dilampirkan sebelum sesuatau permohonan diluluskan.

Selain itu, MBSA turut mengenalpasti beberapa penjaja bergerak (Food Truck) yang ingin menjalankan perniagaan di Selangor yang perlu memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

“MBSA telah mengenalpasti tapak untuk aktiviti perniagaan ‘food truck’. Sehubungan itu, diingatkan peniaga supaya membuat permohonan mengikut peraturan ditetapkan bagi mengelak sebarang masalah tidak sepatutnya berlaku di kemudian hari,” katanya.-NFN-

Tiada ulasan: