Isnin, 24 Oktober 2016

Dakwaan syarikat dapat kontrak kerajaan taja BERSIH 5: Guan Eng tuntut bukti

Oleh Haizal Yatiran & Azizul Osman
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rahman Dahlan membuktikan dakwaannya bahawa terdapat syarikat-syarikat yang menerima kontrak daripada kerajaan Persekutuan tetapi menyokong gerakan BERSIH 5.
 
Katanya, Rahman tidak boleh sekadar membuat kenyataan sebaliknya perlu tampil dengan bukti kukuh ketika membuat dakwaan seperti itu.
 
"Itu saya rasa tindakan BN. Dia yang buat sewenang-wenangnya tanpa merujuk undang-undang. Ini memang cara dan budaya Umno dan menteri, di mana (mereka) suka lemparkan fitnah. Terpulanglah pada beliau," ujarnya kepada pemberita di lobi Parlimen.
 
Guan Eng berkata demikian mengulas kenyataan Rahman pada Ahad bahawa terdapat banyak syarikat yang menerima kontrak daripada Kerajaan Persekutuan, namun menyokong dan memberi dana kepada BERSIH 5 yang mempromosikan gerakan menjatuhkan kerajaan.
 
Rahman sebelum itu menyatakan sokongannya kepada saranan penulis kolum akhbar Utusan Malaysia, Awang Selamat, untuk menyenaraihitamkan syarikat yang menerima kontrak kerajaan tetapi menaja gerakan BERSIH 5 dalam diam-diam. 
 
Susulan itu, Rahman berkata beliau akan mengarahkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) untuk mengenal pasti syarikat-syarikat tersebut. 
 
Guan Eng yang juga ahli Parlimen Bagan itu kemudian diminta mengulas adakah terdapat syarikat di Pulau Pinang yang turut berbuat demikian, seperti yang didakwa.
 
Beliau berkata mana-mana pihak yang membuat tuduhan itu perlu menunjukkan bukti sebelum melemparkan sesuatu tuduhan.
 
"Itu yang saya sebut, kalau ada tunjuk bukti, jangan buat fitnah. Ini (tuduhan ini) adalah untuk alih perhatian daripada belanjawan yang dibentang perdana menteri, yang terbukti tidak bantu rakyat. 
 
"Bagi BR1M, tambah RM200, tapi naikkan harga minyak masak dan tol. Akhirnya kenaikan RM200 itu, tak cukuppun untuk menampung kenaikan harga barang," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: