Isnin, 24 Oktober 2016

Caj visa: Kementerian Pelancongan bincang dengan Kementerian Luar

MALAYSIA GAZETTE


Mas Ermieyati Samsuddin
Mas Ermieyati Samsuddin


Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Luar berhubung kadar baharu caj visa bagi jemaah haji dan umrah yang berkuat kuasa awal bulan ini.

Timbalan Menterinya Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata kementeriannya masih menunggu maklum balas daripada Kementerian Luar untuk tindakan selanjutnya.

"Kadar tersebut dilihat membebankan syarikat pengendali umrah serta jemaah sendiri.

"Namun buat masa ini, kerajaan mengambil ketetapan untuk mengikut apa yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi supaya tidak menimbulkan masalah dan demi menjaga hubungan negara yang terjalin," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Antarabangsa Pelancongan Umrah dan Haji 2016 yang ketujuh anjuran Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) di sini hari ini .

Menerusi kadar baharu itu, caj visa yang dikenakan adalah sebanyak 2,000 riyal (RM2,250) buat jemaah yang menunaikan umrah kali kedua dalam tempoh tiga tahun Hijrah iaitu 1435H, 1436H dan 1437H.

Pengunjung yang kali pertama memasuki Tanah Suci untuk menunaikan haji atau umrah dikecualikan daripada caj tersebut.

Pada 2 Okt lalu, media melaporkan kerajaan Arab Saudi mula melaksanakan caj baharu visa yang diputuskan bulan lalu oleh Kabinet bertujuan meningkatkan pendapatan bukan berasaskan minyak.

Sementara itu, Mas Ermieyati turut menggesa orang ramai supaya berhati-hati memilih pakej umrah yang ditawarkan bagi mengelak daripada terlibat dalam kes penipuan umrah, dan bertindak membuat aduan.

"Kerjasama daripada masyarakat amat penting kerana kami tidak boleh bertindak jika tiada aduan. Pihak kementerian sentiasa memandang serius dalam membanteras kes yang didapati semakin berleluasa," katanya.

Katanya statistik terkini kementerian dari 2012 hingga September 2016 menunjukkan 72 kes penipuan pakej umrah direkodkan dengan jumlah denda dan kompaun sebanyak RM362,000.

Mengulas lanjut berhubung dakwaan daripada pengusaha teksi yang mengatakan Bajet 2017 'memalapkan' sektor pelancongan, Mas Ermieyati menyangkal perkara itu.

"Kita faham dan jelas bahawa dalam ekonomi dunia yang perlahan, kerajaan perlu ambil perkara sebegitu.

Kita gunakan pendekatan NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) terutama bagi mereka yang dalam industri supaya mereka turut mendapat pulangan dengan memainkan peranan masing-masing," katanya.
-- BERNAMA


Tiada ulasan: