Khamis, 20 Oktober 2016

Buletin Utama TV3 : Masih Amal Pemberitaan kuno ?


 
Oleh IZWAN ABDUL HALIM


KEPESATAN komunikasi dalam dunia kejuruteraan teknologi serba canggih, mudah dan pantas kini membolehkan maklumat diakses dan disebar setiap detik oleh sesiapa serta di mana sahaja. Ringkas popularnya disebut “maklumat di hujung jari”.

Malangnya, masih ada pihak yang mungkin merasa juara dapat melakukan manipulasi, persepsi atau sensasi ke atas maklumat atau pihak tertentu. Ia sengaja dilakukan untuk menimbulkan salah tanggapan, kekeliruan dan polemik sebagai adu domba, mengampu atau keuntungan untuk pihak tertentu.
Kaedah negatif seperti itu rupanya belum dibebaskan dari profesionalisme pemberitaan oleh stesen TV3.

Dalam siaran Buletin Utama jam 8:00 malam  (Selasa, 18 Oktober 2016) melaporkan kononnya Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang telah mengakui keberkesanan GST.

Stesen media elektronik itu dalam siaran tersebut memetik sebutan Ahli Parlimen Marang iaitu _*“GST merupakan percukaian murah oleh kerajaan, khusus terhadap mereka yang melarikan diri daripada cukai, cara yang berkesan tanpa dinafikan”*_ bersama _‘tagline’_ bertulis “GST: Terbukti Berkesan – Presiden PAS”.

Mustahil Unit Berita TV3 tidak memahami perkara yang dilaporkan itu melainkan mempunyai motif untuk mencemarkan. Laporan diutarakan seolah-olah ayat disebut Presiden PAS itu sebagai satu
_*‘penyataan’*_ sedangkan hakikat sebenar ianya adalah _*‘pertanyaan’*_.

Perkara tersebut berlangsung pada sesi Jawapan-Jawapan Lisan Bagi Pertanyaan-Pertanyaan, Dewan Rakyat, Parlimen Ketiga Belas, penggal Keempat, Mesyuarat Ketiga, pagi Selasa 18 Oktober 2016. Berikut perincian dari pertanyaan bertulis dikemukakan serta pertanyaan lisan tersebut:

Presiden PAS selaku Ahli Parlimen Marang bangun dan menyebut “Tan Sri Yang Dipertua, soalan saya yang kedua”.

(Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan) 2. PR-1343-L76884 Dato' Seri Abdul Hadi Awang |Marang| Minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sejauh mana hasrat kerajaan untuk membatalkan cukai GST yang dikenakan kepada rakyat tidak mengira kaya atau miskin dan mengambil mekanisma lain yang lebih adil, saksama dan tidak membebankan rakyat)

Berikutan jawapan lisan diberikan Menteri Kewangan II Dato’ Johari Abd Ghani |Titiwangsa|, Ahli Parlimen Marang itu bangun mengemukakan pertanyaan atau soalan tambahan dengan menyebut:

_*“Tan Sri yang Dipertua, soalan tambahan saya, GST merupakan percukaian murah oleh kerajaan, khusus terhadap mereka yang melarikan diri daripada cukai, cara yang berkesan tanpa dinafikan.Namun pun di sana ada impak Yang Amat Berhormat sebut, dan kesan negatifnya ialah inflasi yang menjadi bebanan kepada rakyat awam, khususnya dalam barang-barang yang disebutkan tadi, masih ada sungutan-sungutan nilai mata wang, ini juga membebankan pelajar kita di luar negara yang ke luar negara, sungutan itu banyak, sejauh mana langkah-langkah kerajaan dan penilaian terhadap keberkesanan daripada langkah-langkah itu dan adakah kerajaan berfikir untuk mengadakan alternatif yang lain sekiranya ada? Terima kasih.”*_

Jelas, ia dalam rangka _*‘pertanyaan’*_ di mana ungkapan yang dipetik TV3 adalah dirujuk kepentingan atau keuntungannya kepada pihak Kerajaan. Bukan _*‘penyataan’*_ atau perakuan oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS sebagai pendirian mengesahkan GST diterima atau dituntut kelangsungan pelaksanaannya.

Jika demikian, mengapa tidak TV3 mengambil pertanyaan yang menyebut “membatalkan” sebagai penyataan? Maka, secara nyata, TV3 sebenarnya telah melapor secara konteks yang salah dengan sengaja membawa kepada maksud dan motif tertentu. Masih tidak terlambat untuk membuat pembetulan dan ralat.

Tiada ulasan: