Ahad, 16 Oktober 2016

Bantah BERSIH 5 di Pekan, Pemuda UMNO buat laporan polis

BERNAMA



Pemuda UMNO Bahagian Pekan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis polis hari ini bagi membantah perhimpunan Bersih 5.0 yang dijangka diadakan di sini pada 23 Okt ini.

Ketua Pemuda UMNO Pekan Shahruddin Ahmad berkata laporan dibuat kerana himpunan itu dilihat hanya membawa kepada kemusnahan terutama terhadap perpaduan dalam kalangan masyarakat di parlimen Pekan sendiri.

"Kita percaya perhimpunan Bersih 5.0 akan menyebabkan huru-hara, mendatangkan perpecahan dan mencabar sokongan jitu masyarakat di sini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Selain itu, sudah terbukti sebelum ini ia lebih banyak mengakibatkan kerosakan seperti mengotorkan kawasan, vandalisme dan menjurus kepada penglibatan gangsterisme.

"Jika mereka masih berdegil untuk meneruskannya kemungkinan pertembungan antara kumpulan baju kuning dan baju merah akan berlaku dan ini akan menimbulkan kekecohan," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta polis mengambil tindakan tegas bagi menghalang himpunan tersebut untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Shahruddin berkata perhimpunan Bersih 5.0 itu juga akan mencemarkan imej Pekan sebagai bandar Diraja apa lagi bulan ini akan diadakan sambutan Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

"Sempena bulan memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang, sudah tentu banyak program rasmi kerajaan negeri diadakan di Istana Sultan Abu Bakar yang akan dihadiri tetamu penting.

"Justeru, adalah tidak wajar mereka merosakkan sambutan tersebut dan memalukan Tuanku Sultan dan kerajaan Pahang dengan menganjurkan perhimpunan seperti ini," katanya.-- BERNAMA


Tiada ulasan: