Sabtu, 22 Oktober 2016

Bajet Negara atau Bajet BN?





 
Oleh NASRUDIN HASSAN


Antara perkembangan tidak enak dan kurang menarik dalam sesi pembentangan bajet tahun ini ialah apabila YAB PM mengambil masa terlalu banyak dalam berlebihan mempromosikan BN.

Sedang ini adalah Bajet Kerajaan, Bajet Negara. Memaparkan lambang dacing BN di skrin besar dalam Parlimen juga satu langkah yang nyata memperlihatkan kepada umum seperti BN benar- benar terdesak sehingga saat pembentangan bajet dijadikan peluang untuk berkempen bagai di pentas pilihan raya.

Saya kesal perkembangan seperti ini dan harap ia tidak berulang di lain masa. Sebagaimana pihak BN mahu ahli parlimen bukan kerajaan menghormati mereka, sewajarnya mereka juga tahu menghormati ahli parlimen bukan kerajaan.

Logo dacing bukan logo kerajaan, Ia logo parti. Bajet 2017 bukan bajet BN tetapi ia adalah Bajet Kerajaan. Maka tiada sebab kenapa logo dacing dipertonton sebesar-besarnya di skrin besar Parlimen.

Seharusnya mana-mana bahan yang tidak berkaitan dengan pembentangan mesti mendapat kebenaran Sekretariat Parlimen. Kalau tidak ianya adalah salah guna kuasa eksekutif ke atas parlimen. Saya mohon Tan Sri Speaker bertegas dalam mengawal bahan yang boleh dipaparkan yang tidak berkaitan dengan bahan pembentangan demi menjaga kemuliaan dewan.

Ia mungkin dilihat isu kecil oleh pihak BN, tapi saya melihat ianya sebagai isu sikap dan kematangan dalam berpolitik. Kalau sedikit tidak mengapa tetapi kalau berulang kali mempromosikan BN dalam pembentangan Bajet 2017, maka tidak hairanlah kalau ada yang senak telinga mendengarnya.

Tiada ulasan: