Isnin, 17 Oktober 2016

Bajet 2017: Sifar GST produk ICT untuk rangsang jualan, pembelian

 
 


Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM) meminta kerajaan mempertimbangkan untuk tidak mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi produk dan perkhidmatan ICT  pada Bajet 2017.

Menurutnya, pelaksanaan GST dan penurunan nilai ringgit telah menyebabkan sektor runcit ICT menjadi lembap, sekali gus menjejaskan syarikat-syarikat PKS yang menyumbang sebanyak 31 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Tambah PIKOM, selepas pelaksanaan GST, harga produk ICT semakin mahal dan ini menyebabkan jualan merosot.

"Sekiranya produk ICT sifar GST sebanyak 6.0 peratus, ia akan memberi penjimatan besar dan boleh merangsang semula permintaan kepada produk ICT yang digunakan oleh hampir semua rakyat Malaysia termasuk pelajar, golongan berpendapatan rendah dan sederhana," kata PIKOM.

PIKOM juga mencadangkan kerajaan membenarkan pengurangan dua kali ganda cukai ke atas kos yang ditanggung (sehingga jumlah yang dihadkan) untuk individu yang mengikuti program pensijilan berkaitan ICT.
Syarikat-syarikat juga harus dibenarkan untuk menuntut potongan cukai dua kali jika syarikat-syarikat menanggung kos latihan.

Cadangan ini bertujuan untuk menghadapi cabaran penghijrahan pakar-pakar ICT ke luar negara.

Bagi menggalakkan pembelian produk ICT, PIKOM berharap kerajaan membenarkan potongan cukai pendapatan sebanyak RM3,000 setiap dua tahun untuk pembelian komputer peribadi telefon pintar berbanding tiga tahun sekarang.

PIKOM turut mengesyorkan galakan cukai dilanjutkan kepada telefon pintar berikutan peningkataan penggunaan alat peranti mudah alih sebagai alat ICT pada masa ini.

Katanya, potongan cukai pendapatan yang dibuat dilaksanakan sekali setiap dua tahun seiring dengan kitaran penggantian peranti semasa, yang secara purata adalah setiap dua tahun untuk komputer peribadi dan telefon pintar.

Untuk menambah pendapatan boleh guna isi rumah, PIKOM mencadangkan kerajaan memperkenalkan semula skim pengeluaran KWSP untuk membeli komputer, peralatan habis guna (iaitu komputer peribadi, komputer riba, telefon pintar dan tablet termasuk langganan jalur lebar) dengan senarai barangan/perkhidmatan yang jelas untuk mencegah penyalahgunaan.

Menurut PIKOM, mekanisme lebih ketat boleh dilaksanakan untuk memastikan hanya pihak yang dipercayai sahaja terlibat dalam skim ini.

Untuk tawaran jalur lebar yang lebih murah, PIKOM mencadangkan kerajaan memupuk persaingan industri yang lebih besar dan mengawal selia harga kadar jalur lebar di Malaysia.

Katanya, perlu ada da penanda aras perbandingan serantau dijadikan rujukan untuk memastikan Malaysia kekal sebagai negara kompetitif ICY, yang meliputi kelajuan, liputan dan kualiti perkhidmatan. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: