Jumaat, 7 Oktober 2016

Bajet 2017: Membendung ‘dana gelap’ JPM sebagai keutamaan negara


 

Oleh DZULKEFLY AHMAD dan LIEW CHIN TONG


Belanjawan tidak terlepas dari persoalan membuat pilihan dan menetapkan keutamaan.Bajet 2017 yang akan dibentangkan pada 21 Oktober 2016 adalah sebuah bajet yang bakal dirangka di atas latar ekonomi global yang lembap dan bergerak perlahan. Ini bermakna kerajaan turut berhadapan penurunan jumlah cukai korporat. 

Harga minyak yang menjunam sejak Oktober 2014 tidak menggambarkan ianya akan kembali meningkat untuk beberapa tahun yang mendatang seterusnya memberi isyarat bahawa Kerajaan tidak boleh terus bergantung terhadap hasil minyak.

Penggunaan domestik semakin terhimpit sejak pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sehingga memberi kesan buruk terhadap pendapatan boleh guna rakyat Malaysia. Pada masa yang sama, kejatuhan nilai matawang ringgit menambah lagi beban inflasi. Hal ini dengan jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak lagi mampu mengutip kadar cukai yang lebih menerusi cukai pendapatan individu, korporat mahupun GST itu sendiri.

Akhirnya, akan berlakulah pengurangan hasil Negara dan Kerajaan terpaksa berhadapan keadaan yang sukar untuk membuat beberapa pilihan:

Pertama, menaikkan kadar cukai dimana hal ini akan terus menambah tekanan kepada rakyat Malaysia dan menambah lagi penguncupan penggunaan domestik dalam senario kelembapan sedia ada;

Kedua, menambah pinjaman. Hal ini amat berisiko sekali kerana hutang serta liabiliti sedia ada Kerajaan sendiri pun sudah berada pada kadar yang amat membimbangkan;

Ketiga, memotong perbelanjaan. Dua persoalan timbul; a) Jika Kerajaan membuat potongan secara drastik, ia akan merisikokan ekonomi Malaysia merudum dengan mendadak, b) apakah perbelanjaan yang perlu dipotong dan apakah yang perlu dikekalkan?

Kerajaan tiada pilihan lain kecuali untuk membuat pilihan!

Disana telah wujud desas-desus pemotongan perbelanjaan yang akan melibatkan sektor kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat. Namun, pada saat hutang isi rumah yang kian membengkak, penyusutan kadar pendapatan dan perkembangan ekonomi yang amat perlahan, sektor kesihatan awam, pendidikan awam dan kebajikan merupakan suatu keperluan mendesak buat rakyat. Dengan kata lain, pemotongan tidak wajar dilakukan keatas ketiga-tiga sektor ini.

Atas segala pertimbangan yang telah diutarakan, kami ingin mencadangkan langkah segera dan tuntas yang perlu diambil oleh Kerajaan untuk Bajet 2017: Pemotongan peruntukan pembangunan untuk Perdana Menteri, atau apa yang kami istilahkan sebagai ‘dana gelap’.

Bajet 2014, 2015, 2016 telah memperuntukkan sekurang-kurangnya RM7 bilion untuk Perdana Menteri. Hal ini hampir tidak pernah wujud sebelum Dato’ Seri Najib Razak memegang tampok kuasa sebagai Perdana Menteri.

Berbanding sektor-sektor lain, peruntukan di Jabatan Perdana Menteri ini tiada diberikan spesifikasi yang jelas akan tujuan khusus penggunaannya. Ia kebiasaannya tergantung pada ‘lampu hijau’ yang diisyaratkan oleh Perdana Menteri bila mana difikirkan perlu untuk digunakan. Pada kami, ia merupakan suatu perkara yang tidak masuk akal dan mesti dihapuskan.

Jabatan Perdana Menteri Najib berbelanja 2 kali ganda

Jabatan Perdana Menteri hari ini seolah-olah ‘kabinet dalam kabinet’ bagi sistem eksekutif Malaysia; dengan 9 menteri, 3 timbalan menteri dan 51 bahagian.

Kajian kami tidak meliputi bajet yang diperuntukkan untuk Jabatan Perkhidmatan Awan (JPA), Jabatan Peguam Negara (AG’s Chambers) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut berada dibawah seliaan Jabatan Perdana Menteri. Kebetulan, penganalisis Chua Sue-Ann dari akhbar The Edge Financial Weekly’s turut ada memaparkan hasil kajian yang sama (keluaran 3 Oktober 2016). Kajian beliau turut memuatkan angka-angka melibatkan entiti yang dinyatakan di atas (JPA, AG’s Chambers, SPRM) yang pastinya menambah lagi angka jumlah perbelanjaan di Jabatan Perdana Menteri berbanding angka-angka yang kami kemukakan dalam kajian kami.

Untuk menunjukkan gambaran yang lebih adil, angka inflasi yang diselaraskan (harga 2010) telah digunakan. Angka 2015 dan 2016 merupakan anggaran manakala angka yang sebelum ini adalah perbelanjaan yang sebenar.

Dan untuk berlaku adil juga, perbelanjaan di Jabatan Perdana Menteri sepanjang tempoh perkhidmatan Tun Dr Mahathir Mohammad juga agak besar jika dibandingkan dengan Perdana Menteri dan Presiden di kebanyakan Negara lain.

Pun begitu, perbelanjaan di Jabatan Perdana Menteri pada era kepimpinan Najib telah menyaksikan perbelanjaan terbesar dalam sejarah Malaysia. Dengan segala keterbatasan sumber yang ada, Jabatan Perdana Menteri telah menjadi pesaing kepada peruntukan bagi sektor pendidikan awam, kesihatan awam dan kebajikan.

Untuk rekod, saiz bajet telah meningkat 2 kali ganda antara tahun 2000 (RM 111 billon) dan 2016 (RM 267 bilion). Dalam masa yang sama, saiz peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri pula telah meningkat sebanyak empat kali ganda iaitu daripada RM5.2 bilion pada tahun 2000 kepada RM20 bilion pada tahun 2016.

Peningkatan paling ketara berlaku pada era Najib kini. Pada tahun akhir kepimpinan Perdana Menteri Abdullah Badawi (2008), bajet mencecah RM7 bilion sahaja. Ia melambung kepada RM10 bilion pada tahun 2009 dan RM20 bilion pada 2016. Dalam erti kata lain, angka telah meningkat dua kali ganda di bawah pentadbiran Najib.

Peruntukan Jabatan Perdana Menteri adalah kurang dari 4 peratus daripada jumlah keseluruhan bajet antara tahun 2002 dan 2008. Tahun pertama Najib sebagai Perdana Menteri pada 2009, Jabatan Perdana Menteri telah mengambil 4.9 peratus daripada jumlah peruntukan bajet bagi tahun tersebut. Jabatan Perdana Menteri antara 2010 dan 2015 pula telah mengambil antara 5 dan 7 peratus daripada keseluruhan jumlah bajet tahunan. Dalam Bajet 2016, Jabatan Perdana Menteri telah mengambil 7.6 peratus daripada keseluruhan jumlah peruntukan.

Bajet Pembangunan berskala ‘mega’

Jabatan Perdana Menteri memiliki bajet pembangunan berskala ‘mega’ dibawah pentadbiran Najib, mengatasi peruntukan-peruntukan pembangunan yang lain.

Dalam Bajet 2016, hanya 19 peratus sahaja telah diperuntukan untuk pembangunan. Namun dalam keterhadan pada waktu itu sekalipun, Jabatan Perdana Menteri telah mengambil sehingga 27.5 peratus!

‘Dana Gelap’

Jumlah peruntukan pembangunan yang cukup luar biasa yang kami sifatkan sebagai ‘dana gelap’ di Jabatan Perdana Menteri ini adalah agak sukar untuk didapati sebelum daripada era kepimpinan Perdana Menteri Najib.

Anggaran Perbelanjaan Persekutuan (Estimates of Federal Expenditure) menunjukkan bahawa beberapa item yang tidak jelas fungsinya telah diwujudkan di Jabatan Perdana Menteri sejak Najib memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri pada 2009 - Program Pembangunan (Development programme), Penyelarasan Program Pembasmian Kemiskinan (Coordination of Eradication of Poverty programme), Projek-projek Kecil (Small projects), Projek Khas (Special projects), Projek Mesra Rakyat (People-friendly projects) and Dana Fasilitasi (Facilitation funds).

Perdana Menteri memiliki budi bicara yang mutlak tentang bagaimanakah dana-dana ini hendak dibelanjakan. Setiap dari item tersebut melibatkan nilai jutaan ringgit bahkan mencecah billion ringgit pada jumlah keseluruhannya. Perincian perbelanjaan ini tidak dikemukakan kepada ahli-ahli parlimen, jauh sekali ke pengetahuan rakyat. Menerima hakikat bahawa institusi parlimen itu sendiri telah dicengkam dan dilemahkan fungsinya oleh parti pemerintah sejak sekian lama, perbelanjaan-perbelanjaan melibatkan item-item yang tidak jelas di bawah Jabatan Perdana Menteri ini tidak dapat disemak apatah lagi diaudit oleh mana-mana badan berwajib. ‘Dana gelap’ adalah istilah paling tepat untuk mendiskripsikan perkara ini.

Ironisnya, dana-dana ini adalah diperuntukkan untuk kroni. Dengan ini, kami mendesak agar ‘dana gelap’ yang disalur masuk ke Jabatan Perdana Menteri ini dihapuskan dan dibasmi sehingga ke dasarnya.

* LIEW CHIN TONG adalah Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan dan Ahli Parlimen Kluang- DR. DZULKEFLY AHMAD adsalah Pengarah Strategi, Parti Amanah Negara 


Tiada ulasan: