Rabu, 19 Oktober 2016

Assabiqun bagi memantapkan ahli lama PAS


 
Oleh SUBKY LATIF


MENJELANG tengah malam atau 45 minit sebelum masuk 10 Oktober 2016 yang lalu PAS mengumumkan pembentukan entiti Assabiqun golongan warga emasnya bagi Wilayah Persekutuan.
  
Nama kumpulan diumumkan oleh Presidennya TG Haji Abdul melalui mesejnya yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Datuk Taqiyudin Hassan di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Bandar Tun Razak desa Malaysia Raya.
     
Kumpulan orang lama PAS itu telah wujud di banyak negeri atas nama yang berbeza-beza, tetapi bagi Wilayah Persekutuan itu Presiden menamakannya Assabiqun, mengambil gelaran yang golongan awal yang menerima Islam yang dibawa Rasullah SAW 15 abad lalu.
    
Nama itu dipercayai akan digunakan di setiap negeri. Apa peranan dan tanggungjawabnya belum dimaklumkan. Ia patutnya digaris pada pelancaran yang dijadualkan oleh Presiden, tetapi kesihatannya yang tidak mengizinkan, beliau mewakilkan Datuk Taqiyudin. Peranannya dipercayai dibuat oleh Presiden sedikit hari lagi.
    
Assabiqun merancang untuk mengadakan mesyuarat agung perasmian penubuhannya seberapa segera bagi memilih lembaga pengurusnya, diharap Presiden dapat mengarahkan di acara itu akan peranannya.
   
Kerja pertama Assabiqun adalah mendaftarkan mereka yang layak menganggotainya sebelum sidang penubuhan itu diadakan.
    
Golongan Assabiqun rata-rata adalah terdiri daripada warga emas yang tidak dilasak lagi menjana aktiviti parti disebabkan oleh faktor usia, tenaga mula merosot, mula didekati penyakit dan memberi laluan kepada yang lebih muda yang bertenaga maksima.
   
Orang-orang ini lazimnya mulai pasif dalam politik, dan jika dibiarkan mereka akan tertinggal dalam arus perdana perjuangan, bahkan boleh tercicir. Jika terbiar lama mereka boleh tinggal bersendirian, tidak tahu apa yang parti buat, tidak tahu perkembangan dan boleh tercicir.
    
Biasanya biri-biri yang terpisah daripada pasukan gembala mudah dibaham serigala.
    
Orang lama adalah orang yang banyak pengalaman. Semua pengalaman itu adalah khazanah yang berguna buat masyarakat dan jamaah. Masyarakat yang mulia di mana-mana adalah mereka yang memuliakan oleh lama. Islam memuliakan gologan Assabiqun itu kerana banyak barakah dan faedah boleh diraih oleh jamaah.
   
Pembentukan Assabiqun itu adalah langkah PAS memulia dan menghargai ahli lamanya yang berjasa atas parti dan dengan demikian tidak ada yang tercicir dan semua berpisah dengan PAS disebabkan oleh ajal, bukan kerana membawa diri dan tidak dipedulikan oleh parti.
    
Sebagai golongan Assabiqun 15 abad dulu mati dalam Islam, maka dengan tindakan PAS memuliakan golongan Assabiqunnya, biar semua mati sebagai ahli PAS.
    
Faktor usia dan kurang bertenaga mungkin tidak banyak yang dapat disumbangkan lagi dalam PAS.  Tetapi dengan memberi peranan baru kepada mereka berada sesama saudara Assabiqunnya dalam aktiviti tertentu, aset jamaah itu nescaya membantu mereka sentiasa segar dan gembira memberikan apa saja yang terdaya oleh mereka.
   
Kekuatan dan kejayaan Islam pada peringkat awalnya adalah juga atas sumbangan istiqamah para Assabiqun, maka PAS nescaya dapat meraih faedah yang sama apabila memuliakan golongan yang sama. PAS akan sentiasa bertenaga apabila tidak orangnya yang tercicir dan kekuatan pengalaman orang tua itu menambah kuat jamaah.

Tiada ulasan: