Jumaat, 14 Oktober 2016

ANTARA DUA INDIVIDU YANG DISEBUT NAJIB DAN DUA INDIVIDU LAIN DI SISI NAJIB

shahbudindotcom


Bercakap dalam satu rakaman audio mengenai perpaduan, Najib Razak secara terbuka melahirkan kebimbangannya terhadap dua individu yang dianggapnya merupakan ancaman kepada negara.

Walaupun tidak menyebut nama, dua individu itu tidak lain ialah bekas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Meminjam kata-kata Abdul Rahman Dahlan, hanya orang bodoh saja yang tidak memahami siapa individu yang dimaksudkan Najib itu.

Kata Najib, fasa pertama kepada ancaman perpaduan itu timbul  pada 2008 melalui beberapa isu perkauman dan kes mencabar Perlembagaan, manakala fasa kedua apabila seorang pemimpin lama menubuhkan parti politik baru yang mengakibatkan kuasa politik Melayu berpecah kepada lima.

Tambahnya, ancaman fasa ketiga dijangka akan berlaku berikutan pemimpin fasa  pertama dan fasa kedua itu sudah berbaik-baik dan bersalaman sekarang ini.
Benarkah Anwar dan Tun Mahathir merosak perpaduan dan merupakan ancaman kepada negara?

Apa dan di mana rosaknya perpaduan yang diakibatkan oleh Anwar dan Tun Mahathir selama ini?

Tidakkah Anwar dengan perjuangannya dan Tun Mahathir juga dengan perjuangannya dan mereka berpadu tenaga sekarang ini adalah merupakan sebahagian usaha yang murni ke arah penyatuan rakyat dan seterusnya menyelamatkan negara?

Bukankah perpaduan yang longgar dan timbulnya pelbagai isu mengenai perpaduan selama ini lebih banyak berpunca  daripada kelemahan Najib sendiri dalam menangani pelbagai isu yang timbul?

Hakikatnya, perpaduan tidak ada masalah di negara ini. Sesama rakyat masih boleh hidup akan harmoni sama ada berjiran, makan semeja, bekerja sepejabat, saling menumpang kereta, berpakat dalam perniagaan dan sebagainya lagi.

Masalah kita bukan perpaduan. Masalah kita ialah kehidupan rakyat makin tertekan yang diakibatkan kelemahan pemimpin mengurus negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat, sambil berlakunya aktiviti pencurian dan samunan di siang hari.

Jika mahu disebut mengenai kemelut dalam negara, selain kerana kelemahan Najib sendiri dalam memimpin negara, harus disedarinya juga bahawa ada dua individu lain yang lebih merosakkannya.

Pertama, Rosmah Mansor dan kedua, Jho Low.

Jika Rosmah tidak kalut dengan kemewahan dan pembaziran sehingga menjadi bualan hangat di dalam negara dan juga antarabangsa, malah berperanan sebagai isteri yang sebenar sebagaimana watak Tun Siti Hasmah atau Dr Wan Azizah ketika Tun Mahathir dan Anwar menggenggam kuasa, barangkali banyak kekalutan dalam negara ini dapat dielakkan.

Sejak 2009, isu campurtangan beliau, kemewahan, pembaziran dan perbelanjaan juta-juta yang dikaitkan dengan dirinya, terus menjadi  antara penyebab letihnya bibir rakyat mengomel dan berbicara.
Selepas PRU 2013 pula di mana timbulnya isu 1MDB dengan beban hutang tinggi tetapi ada poket yang tiba-tiba berisi, malah beberapa negara sudah mula mengambil tindakan, nama Jho Low tiba-tiba hangat membasahi gusi.

Malah untuk fasa-fasa seterusnya, selagi Najib memimpin negara ini, nama Jho Low akan terus menjadi buah mulut sesiapa dan di mana jua. Malah, Rosmah bukan saja akan kekal sebagai isterinya, tetapi juga dengan wataknya yang seperti selalu.

Dalam kepimpinannya dan apa yang berlaku kepada negara sekarang, mahu tidak mahu, Najib seharusnya lebih menginsafi mengenai kehadiran dua individu yang rapat dan selalu dikaitkan dengan dirinya itu.

Sejak 2008, baik Anwar mahupun Tun Mahathir, kedua-dua mereka tiada kuasa untuk berbuat sesuatu yang boleh merosakkan negara berbanding dua individu lain yang bukan saja selalu berada di sisi Najib, tetapi rapat dengan kuasanya sebagai seorang Perdana Menteri.

Malah, tanpa kuasa dengan seorang sekarang berada di penjara dan seorang lagi sudah 91 tahun usianya, merekalah kini sandaran dan harapan rakyat untuk menyelamatkan masa depan negara.

Kepada Rosmah dan Jho Low, apa yang boleh kita sandarkan pengharapan kepada mereka?

Tiada ulasan: