Sabtu, 15 Oktober 2016

Amanah akan terus pujuk PAS, kata Mat Sabu

 
Presiden Amanah itu berkata, PAS penting dalam pembentukan pakatan pembangkang yang bersatu


Mat Sabu


PETALING JAYA: Pakatan Harapan akan terus memujuk PAS untuk membentuk gabungan pembangkang bagi mencabar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata presiden Amanah.

Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, adalah penting untuk PAS berada dalam gabungan pembangkang, walaupun pemimpin parti Islam itu enggan bekerjasama dengan DAP.

Beliau berkata, partinya sudah mengadakan perbincangan dengan PAS dan DAP mengenai perpaduan di kalangan pembangkang dan akan meyakinkan parti Islam itu menyertai gabungan mereka.

Katanya, kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin sebelum ini yang parti itu tidak akan bekerjasama dengan DAP lagi dan rela berdepan pertandingan 3 penjuru pada PRU14, hanyalah pendapat peribadinya.

“Kami akan menawarkan tangan kami kepada PAS, sama ada mereka mahu menerima atau tidak terpulang kepada mereka,” katanya dilaporkan NST Onlie selepas menghadiri persidangan Pakatan Harapan Kedah, hari ini.

Beliau berkata, Pakatan Harapan akan berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengenai pertandingan satu lawan satu menentang BN.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, parti pembangkang dijangka memuktamadkan perbincangan berhubung pembahagian kerusi menjelang akhir tahun ini.

Tiada ulasan: