Khamis, 20 Oktober 2016

Akta 355: PH anggap usul alternatif Amanah lebih menyeluruh - Khalid Samad

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad memaklumkan Pakatan Harapan (PH) 'tidak ada masalah' dengan usul alternatif parti itu dan menganggap ia lebih positif berbanding Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
"Memang alternatif yang kita kemukakan pun kita dah bincang dah dengan PH, maknanya mereka semua tahu dan ia tidak ada masalah 
 
"Ya... maksudnya menganggapnya lebih positif daripada (Ahli Parlimen) Marang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi parlimen sebentar tadi.
 
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam walau bagaimanapun enggan mengulas bersabit usul alternatif itu sehingga ia dibentangkan kelak.
 
PH setakat ini belum mengumumkan pendirian rasmi berkenaan RUU Hadi yang mahu memperkasakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).
 
Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifudin Abdullah semalam memberitahu gabungan itu ada berbincang mengenai RUU Hadi, namun enggan 'buat kesimpulan awal'. 
 
Malah beliau turut mengakui usul alternatif Amanah lebih baik berbanding RUU Hadi kerana 'ia bertujuan untuk memperbaikinya'.
 
Untuk rekod, usul alternatif itu diserahkan minggu lalu oleh ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan sepatutnya dimasukkan dalam kertas aturan parlimen minggu depan.
 
Usul itu antaranya mencadangkan pembentukan sebuah majlis merangkumi pakar agama dan undang-undang bagi membincangkan kaedah terbaik memperkasa Mahkamah Syariah.
 
Pimpinan Amanah sebelum ini mendakwa usul mereka lebih menyeluruh berbanding RUU Hadi, yang dilihat kabur dan terbuka kepada salah tafsir.
 
Menurut mereka, RUU Hadi lebih menekankan soal hukuman sedangkan untuk memperkasa Mahkamah Syariah memerlukan aspek keseluruhan dan perlu lebih komprehensif.
 
 
 

Tiada ulasan: