Khamis, 20 Oktober 2016

AKTA 355, NAJIB TAK MAHU?

shahbudindotcom


Persoalan sama ada Akta 355 melalui usul persendirian oleh Hadi Awang akan diberi peluang untuk dibahaskan atau tidak, seharusnya tidak sukar untuk difahami, termasuk oleh ahli-ahli Pas sendiri.

Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Haji Mulia berkata, perkara itu terserah kepada kerajaan menentukannya seperti terkandung di bawah Peraturan Mesyuarat 15.

Katanya, meskipun usul itu sudah dimasukkan dalam aturan mesyuarat, namun ia masih perlu menunggu urusan melibatkan kerajaan selesai terlebih dahulu.

Dan urusan atau akta melibatkan kerajaan pula, tambahnya, masih boleh disisipkan dalam tempoh 24 jam sebelum ia dibentangkan.
 
 
 
 
Sehubungan itu, tegasnya, beliau tidak mempunyai kuasa sama sekali untuk menentukan usul mana yang perlu didahulukan atau dikeluarkan dalam aturan mesyuarat.

Kerajaan yang berhak membuat keputusan. Kalau kerajaan tak mahu sesuatu usul, sama ada daripada pembangkang mahupun kerajaan daripada dibahaskan, maka ia tidak akan akan dibahaskan, meskipun saya sebagai Speaker mahu berbuat demikian, kecuali  kalau Peraturan 15 itu diubah, tambah Pandikar Amin lagi.

Penjelasan Pandikar Amin ini cukup jelas untuk difahami bagi dikaitkan dengan usul Akta 355 oleh Hadi Awang. Oleh kerana ia bukan urusan kerajaan, sebaliknya adalah usul persendirian, maka terserah kepada kerajaan sama ada mahu memberi laluan atau tidak.

Siapakah yang berhak memberi kata putus mewakili kerajaan dalam hal ini?

Ia tidak lain ialah Najib Razak selaku Perdana Menteri dan ketua kerajaan. Sebagaimana Najib memberi laluan pada Jun lalu kepada Hadi Awang untuk membentangkannya bagi kali pertama, hanya beliau yang berhak memberi laluan sekali lagi.

Kalau Najib mahu, jalanlah usul Hadi itu. Jika Najib tak mahu atau kata nanti dulu, tertangguhlah ia di situ.

Segala-galanya terserah kepada Najib untuk memberi kata putusnya.

Agak-agaknya Najib mahu atau tidak Akta 355 ini? Pernah kita dengar apa pendirian Najib mengenainya? 


Tiada ulasan: