Ahad, 16 Oktober 2016

Air Pasang Besar: Penduduk Kampung Tok Muda Mula Berpindah

MSTAR ONLINE
 
 
Sebahagian penduduk Kampung Tok Muda sudah mulai mendaftar di pusat penempatan mangsa banjir di Dewan Orang Ramai, Kampung Tok Muda, Kapar ketika tinjauan Bernama pada Sabtu. Foto Bernama
 
 
KLANG: Sebilangan penduduk Kampung Tok Muda, Kapar di sini mula berpindah ke pusat penempatan mangsa banjir sejak 2 petang Sabtu sebagai langkah awal menghadapi fenomena air pasang besar.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor, Kolonel Ahmad Afandi Mohamad berkata, setakat 3.30 petang, 37 keluarga telah mendaftar di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda.

"Pusat ini mampu menampung sehingga 50 keluarga dan dijangka lebih ramai akan mendaftar menjelang lewat petang nanti dan awal pagi esok," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, 100 kakitangan pelbagai agensi kerajaan antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Kesihatan Daerah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan bertugas secara bergilir-gilir di pusat pemindahan itu.

Katanya lagi, fenomena air pasang besar pertama direkodkan pada 6 pagi Sabtu pada paras 5.2 meter.

Sebelum ini, Jawatankuasa Bencana Selangor melaporkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku pada Ahad hingga Rabu ini dengan kenaikan paras air mampu mencecah ketinggian 5.6m hingga 5.7m.

Peningkatan paras air laut berkenaan boleh menyebabkan beberapa tempat di sekitar pesisir pantai termasuk kawasan rendah berisiko dilanda banjir.

Dalam pada itu, seorang penduduk kampung berkenaan, Siti Nadiah Rusman, 37, ketika ditemui menyatakan tindakannya berpindah awal ke pusat pemindahan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga.

"Diharapkan air pasang kali ini akan berakhir dengan cepat, barang-barang semua saya dah pindahkan ke tempat tinggi," katanya.

Pada fenomena sama bulan lepas, Kampung Tok Muda merupakan antara kawasan di Selangor yang dilanda banjir menyebabkan harta benda penduduk rosak teruk. - Bernama

Tiada ulasan: