Ahad, 16 Oktober 2016

Air pasang besar: 28 kawasan di Kuala Perlis berisiko banjir kilat

BERNAMA
 
 
Air pasang luar biasa gambar failAir pasang luar biasa gambar fail
Sebanyak 28 kawasan berisiko dijangka dilimpahi air laut berikutan fenomena air pasang besar di sepanjang persisiran pantai Kuala Perlis mulai esok hingga Selasa ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis Mej (PA) Mohd Farid Ishak berkata kawasan yang dikenal pasti ialah Kampung (Kg) Pulau Ketam, Kg Tengah, Kg Tandiap, Kg Seberang Alor, Kg Seberang Tok Pi dan Kg Puju.

Kawasan lain ialah Kg Tanah Baru, Kg Perak, Kg Belakang Kilang, Kg Sungai Siput, Taman Kuala Perlis, Kg Nelayan, Kg Tanah Baru, Taman Bukit Kubu, Taman Sentosa, Taman Peladang Jaya, Taman Utara Jaya Fasa 1 dan 2 serta Taman Berlian.

Selain itu, Kg Sungai Kurong Tengar, Kg Sungai Berembang, Kg Bohor Pahit, Kg Pulau, Kg Sg Baru, Kg Mengimang, Kg Sungai Belati, Kg Sungai Padang, Kg Padang Keria dan Kg Kuala Sanglang turut berisiko, katanya.

Menurut Mohd Farid banyak kawasan rendah di sepanjang pantai di negeri ini dijangka dilanda banjir kilat jika keadaan laut bergelora, angin kencang dan hujan berterusan berlaku serentak.

"APM Perlis bersiapa siaga menghadapi bencana ini. Orang ramai harus bersedia dan mengikut arahan sekiranya diarahkan berpindah ke pusat penempatan," katanya selepas membuat pemantauan di sepanjang pantai Kuala Perlis lewat malam tadi.

Antara pusat pemindahan yang disediakan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Khay Beng, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Pejabat Kemas Kuala Perlis, SK Sungai Baru, SK Datuk Ahmad Musa dan SK Padang Keria.

"Walaupun air pasang dijangka sederhana, orang ramai tidak boleh mengambil ringan," kata Mohd Farid.

Katanya air pasang tertinggi di pesisir pantai Kuala Perlis ialah pada pukul 12.30 tengah malam tadi mencecah 3.3 meter. Ketinggian ombak dijangka melepasi 3.5 meter esok dan lusa yang melepasi tembok penghadang dan boleh menyebabkan banjir kilat.

Air pasang hari ini dijangka bermula pukul 12.40 tengah hari dan boleh mencecah 3 meter tinggi.

Sementara itu di GEORGE TOWN, dilaporkan harga ikan di sini dijangka meningkat berikutan fenomena air pasang besar.

Tinjauan Bernama di pasar Bandar Baru Air Itam mendapati hanya beberapa kedai yang dibuka dan ikan tertentu seperti ikan selayang dan kembung dijual pada harga sekitar RM12 ke RM16 berbanding RM6 dan RM8 sebelum ini, dalam kuantiti yang terhad.

Seorang penjual ikan di pasar itu, Hng Lee Wei, 53, berkata banyak nelayan tidak ke laut kerana angin kencang dan ombak yang tinggi berikutan fenomena itu.

"Nelayan dengan bot kecil tidak selamat untuk keluar menangkap ikan. Ramai yang mengambil keputusan untuk tidak keluar ke laut menyebabkan bekalan ikan kurang," katanya di sini hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad ketika dihubungi berkata beliau berhubung dengan Ketua Persatuan Nelayan di Kuala Sungai Pinang dan Pulau Betong dan mendapati ramai nelayan yang ke laut pada pagi ini kembali semula kerana angin terlalu kuat.

"Saya dimaklumkan air pasang akan berada di kemuncaknya hari ini dan awal pagi esok. Saya menasihatkan semua orang yang tinggal di kawasan berisiko tinggi (berpindah ke tempat) selamat," katanya.

Beberapa kawasan di Pulau Pinang termasuk Teluk Bahang, Sungai Tiram, Bayan Lepas, Teluk Kumbar dan pantai Permatang Damar Laut dijangka terjejas dengan ombak mencapai ketinggian sehingga tiga meter pada awal pagi esok, Isnin dan Selasa ini, berkemungkinan akan menyebabkan banjir.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Adnan Hussain menggesa para pelajarnya supaya mengelak daripada mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan di kawasan terjejas sehingga 19 Okt ini.

"Saya menggesa pelajar supaya tidak berada di kawasan terjejas pada masa dan tarikh dijangka berlakunya fenomena air pasang besar untuk sebab-sebab keselamatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tiada ulasan: