Selasa, 11 Oktober 2016

Ahli Parlimen pembangkang gesa pengerusi SPR letak jawatan

 
Mereka mendakwa semua syor yang dikemukakan dalam persempadanan semula tidak adil dan seimbang yang menyebabkan nama baik Suruhanjaya Pilihan Raya terjejas.


tan-kok-wai


KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah digesa meletakkan jawatan susulan cadangan persempadanan semula yang dibuat baru-baru ini.

Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai mendakwa ini disebabkan syor-syor yang dikemukakan dalam persempadanan semula itu tidak adil dan seimbang serta menyebabkan nama baik badan terbabit terjejas
“Letak jawatan kerana kesangsian kepada SPR sudah sampai ke kemuncak disebabkan syor terbaru ini.

“Dan memandangkan SPR akan memantau dan mengawasi pilihan raya umum (PRU) akan datang, macam mana pengerusi yang tak beramanah dapat mengetuai dan memantau?” katanya kepada pemberita bersama-sama dengan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Kuala Lumpur yang lain mengemukakan borang bantahan di Pejabat SPR di sini hari ini.

SPR sebelum ini memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan Pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

Semua pihak diberi masa selama sebulan sehingga Jumaat ini untuk mengemukakan bantahan masing-masing.

Kok Wai yang merupakan ahli Parlimen Cheras berkata PH menganggap syor persempadanan semula yang dikemukakan SPR adalah satu serangan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“Syor-syor ini diperalatkan untuk memihak kepada Umno dan BN (Barisan Nasional) untuk memastikan kemenangan diperoleh BN pada PRU14 akan datang supaya ia terus kekal berkuasa.

“Kami menganggap ini satu rekaan berat sebelah untuk membantu Umno dan BN,” dakwanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula berpendapat pihaknya melihat wujudnya konspirasi tersusun yang direncanakan SPR bersama Umno dan BN untuk mengalahkan kerusi-kerusi sasaran pembangkang yang dimenangi semasa PRU13.

“Sebelum hari ini (kami), pergi turun padang sama ada memeriksa kawasan baru yang dicadangkan SPR. Sama ada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang terletak di luar sempadan, pengundinya tak ada pun pada Sabtu dan Ahad.

“Semuanya menunjukkan komitmen kami terhadap mengguna pakai mekanisme demokratik dan institusi dalam Malaysia. Malangnya badan yang wajib melaksanakan tugas-tugas merangka semula (persempadanan semula) tidak mengikut lunas-lunas Perlembagaan.

“Di manakah perlu kami pergi? Kami sudah bawa bantahan. Teresa Kok sendiri 500 orang bersama beliau membantah, Lembah Pantai lebih 200 orang dan di kawasan lain-lain sekurang-kurangnya 100 orang seperti dimaktubkan diperlukan tapi akhirnya adakah suara kami akan terkubur?” soalnya.

Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan Dr Mohd Hatta Ramli pula berkata, cadangan persempadanan semula itu menyebabkan imej SPR jauh lebih teruk daripada sebelumnya kerana meletakkan kawasan yang tidak seimbang.

“SPR terlepas peluang kita bincang dalam jawatankuasa terpilih Parlimen untuk menambahbaik pilihan raya. Kita beri kepada SPR untuk membina nama baik dengan berlaku adil,” katanya.

Tiada ulasan: