MALAYSIAKINI
Serpihan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini mengumumkan pelantikan tiga pegawai tertinggi parti itu.
Ini termasuk anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Johor, dan
bekas pemimpin Umno negeri Datuk Dr Shahruddin bin Md Salleh yang
dilantik sebagai setiausaha agung.
Selain beliau, akauntan bertauliah lulusan Ireland yang aktif dalam
kerja-kerja kemasyarakatan, Datuk Mohamed Salleh Bajuri, dilantik
sebagai bendahari agung.
Bekas ADUN Semerak, Kelantan Kamarudin Md Nor pula dilantik sebagai
ketua penerangan, menurut presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin, bekas timbalan perdana menteri, menjelaskan semua penjawat
jawatan itu akan memegang jawatan selama tempoh Majlis Pimpinan
Tertinggi, selaras dengan peruntukan Fasal 13.7 perlembagaan parti.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang telah dilantik untuk
mengisi jawatan-jawatan kanan dalam PPBM (BERSATU) dan berdoa semoga
para penjawat parti yang baru dilantik ini akan dapat menyumbang tenaga
dan fikiran dalam memastikan kelicinan perjalanan pengurusan dan
pentadbiran parti,” katanya.
BERSATU ditubuhkan selepas Muhyiddin dan penyokongnya hilang
kepercayaan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak susulan
kemasukan wang berbilion ringgit dalam akaun peribadinya serta
kontroversi sekitar 1MDB.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi penasihat untuk parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan