Jumaat, 14 Oktober 2016

4 anggota Search disaman hampir setengah juta

MALAYSIAKINI


Syarikat Afjets Sdn Bhd hari ini memfailkan saman hampir setengah juta ke atas empat anggota kumpulan Search kerana penyataan fitnah dan pelanggaran kontrak di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.

Peguam Afjets Adnan Seman @ Abdullah berkata, dalam pernyataan tuntutannya, laporan difailkan terhadap kumpulan rock popular itu berhubung penganjuran konsert 35 tahunnya yang sepatutnya diadakan pada 30 Ogos lalu.

Afjets mendakwa defendan menyiarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya menerusi sidang media pembatalan memorandum persefahaman (MOU) pada 20 Mei lalu.

Menurut kenyataan itu, defendan antaranya berkata Afjets tidak profesional, tidak mempunyai dana cukup dan tidak berminat untuk meneruskan konsert, selain menjadi punca pergaduhan dengan pemain dram Yazid.

Disebabkan perkataan fitnah tersebut, Afjets mendakwa reputasi mereka terjejas dan mengalami kerugian teruk.

Turut hadir wakil Afjets SM Hafiz SM Afdzaruddin.

Plaintif menamakan Suhaimi Abd Rahman, Noordin Mohd Taib, Hamzah Mohd Taib dan Nasir Daud sebagai defendan.

Search sepatutnya mengadakan kerjasama dengan Afjets untuk konsert pada 30 Ogos lalu.

Selepas memilih Stadium Merdeka sebagai lokasi awal ia dipindahkan ke Litar Antarabangsa Sepang.
Bagaimanapun, hubungan kedua-dua pihak menjadi keruh ekoran beberapa perselisihan faham membabitkan bayaran serta kekeliruan Search dengan salah seorang anggota mereka, Yazid.

Menurut Adnan, Afjets turut menuntut antaranya ganti rugi khas berjumlah RM494,079.71 bagi kos yang sudah dibelanjakan, ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi pengajaran berserta satu perintah injuksi.

"Perintah itu dikeluarkan bagi menghalang atau menerbitkan kenyataan memburukkan Afjets," katanya.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi berkaitan perkara itu.



Tiada ulasan: