Jumaat, 14 Oktober 2016

3 hari lepas Ashura, khutbah selar ratapan Syiah

MALAYSIAKINI


Tiga hari selepas sambutan Ashura, khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tampil mengecam cara Syiah menyambut ketibaan hari itu.

Katanya, dalam perayaan itu, yang sambutan besar-besarannya dibuat di Karbala, Iraq, penganut Syiah akan menyeksa tubuh badan bagi meratapi kematian cucu Nabi Muhammad, Husain bin Ali.

“Golongan Syiah mengadakan upacara memukul dada dan menyeksa tubuh badan sempena 10 Muharam bagi menangisi kematian Saidina Husain.

“Perbuatan mungkar ini adalah hanya direka-reka dan bukan daripada ajaran Islam yang sebenarnya, malah ia menyerupai ajaran agama-agama lain,” menurut teks khutbah itu.

Tanggal 10 Muharam adalah hari penting bagi pengikut Syiah bagi mengenang kematian Husain – salah seorang imam mereka.

Husain meninggal dunia secara tragis dalam peperangan menentang tentera Yazid bin Muawiyah, khalifah Bani Umayyah yang kedua.

Jawatankuasa fatwa Selangor mewartakan bahawa fahaman Syiah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar pada 17 Oktober 2013.

Rabu lalu, seramai 50 warga Pakistan dipercayai bermazhab Syiah ditahan di Batu Caves, ketika menyertai acara sempena sambutan Hari Ashura.

Tiada ulasan: