Selasa, 27 September 2016

Umno Kedah 'alu-alukan' Mukhriz bertanding pada PRU14

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Umno Kedah 'mengalu-alukan' sekiranya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mahu bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).
 
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya langsung tidak gentar, malah menambah, Mukhriz berhak bertanding di mana-mana kerusi DUN Ayer Hitam dan Parlimen Jerlun yang pernah disandangnya.
 
"Mungkin Mukhriz mahu bertanding di Parlimen Kubang Pasu yang pernah disandang bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad. Kita alu-alukan dan kita tidak gentar untuk berhadapan dengan parti itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 Peringkat Negeri Kedah, semalam.
 
Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah mengulas laporan media mengenai kenyataan Mukhriz yang kini Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengenai kesediaan untuk bertanding dalam PRU14 di negeri kelahirannya itu.
 
Ditanya mengenai sokongan kepada PPBM, Ahmad Bashah berkata mereka yang menyokong parti pembangkang itu adalah yang kecewa kerana tidak mendapat sebarang jawatan dalam parti di peringkat cawangan.
 
"Parti itu (PPBM) hanya disokong oleh mereka yang kecewa dengan Umno sama seperti pemimpinnya yang kecewa dengan Umno. Sekarang mereka yang kecewa itu ada peluang untuk mendapat jawatan," katanya.
 
Ahmad Bashah berkata perkara itu tidak menggugat kedudukan Umno kerana parti berusia 70 tahun itu telah menabur bakti kepada rakyat dan mereka mampu menilai perjuangan yang dilakukannya.
 
 

Tiada ulasan: