Isnin, 19 September 2016

Sambut atlet paralimpik jangan hangat tahi ayam

 
Atlet paralimpik sebenarnya sudah lama menempa nama di pentas antarabangsa tetapi tidak menerima penghargaan.


Abdul Latif Romly


Walaupun sekadar mendapat 30% elaun berbanding atlet Olimpik normal, atlet paralimpik negara tidak hanya memberi 30% usaha untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Sebaliknya, mereka mencurahkan 100% kudrat sehingga berjaya menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia untuk mengakhiri kemarau emas negara sejak 1956.

Bukan satu, tetapi 3 pingat emas disumbangkan atlet paralimpik hanya dalam tempoh 24 jam, serta satu pingat gangsa.

Berbanding harapan menggunung kepada atlet Olimpik negara ke Rio de Janeiro sehingga menyebabkan ada di antara mereka tertekan, atlet kelainan upaya sekadar mendapat layanan dingin daripada kerajaan, media dan rakyat.

Atlet paralimpik seperti Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly sebenarnya sudah lama menempa nama di pentas antarabangsa kerana pernah memenangi pingat di pelbagai kejohanan bertaraf dunia sebelum ini.

Malah, Latif berjaya menewaskan atlet normal untuk meraih pingat emas dan memecahkan rekod dunia menerusi lompatan 7.46m, pada Sukma ke-18 di Sarawak, Julai lalu.

Pun begitu, mereka langsung tidak dihargai dan masih mendapat layanan berat sebelah walaupun di tanah air sendiri.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini berkata Lembaga Majlis Sukan Negara (MSN) cuba menolak cadangannya menaikkan elaun atlet paralimpik supaya ia sama dengan atlet normal.

Pelbagai alasan diberikan, termasuk tidak banyak penyertaan, mudah untuk menang, sukan paralimpik masih baharu dan terlalu banyak kategori acara.

Mujurlah menteri muda itu tidak berputus asa dan berusaha memperjuangkan kebajikan serta layanan sama rata buat atlet paralimpik, 3 tahun lalu.

Hari ini, terbukti perjuangan Khairy tidak sia-sia apabila 3 daripada atlet itu berjaya menaiki podium dan buat julung kalinya dalam sejarah Malaysia, lagu Negaraku berkumandang di temasya sukan terbesar di dunia itu.

Layanan dan tumpuan yang diberikan kepada atlet paralimpik serta bekas atlet ketika ini perlu ditambah baik, bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam, kerana mereka perlu mengatasi kekurangan dalam diri dan berusaha lebih keras berbanding atlet normal untuk bersaing dengan lawan dari seluruh dunia bagi melayakkan diri ke Sukan Paralimpik.

Bagi atlet paralimpik yang kurang bernasib baik dalam misi pemburuan pingat di Sukan Paralimpik, janganlah berputus asa kerana peluang sentiasa terbuka kepada anda yang tetap menjadi wira kebanggaan negara dan seluruh rakyat Malaysia.

Tahniah juga kepada jurulatih dan ibu bapa yang memainkan peranan penting atas latihan, didikan serta keyakinan terhadap anak luar biasa mereka sehingga berjaya menggapai kejayaan sekarang.

Diharapkan pencapaian mereka di Rio de Janeiro dapat membuka mata kerajaan, guru dan ibu bapa khasnya dalam membangunkan bakat anak kelainan upaya menjadi atlet paralimpik.

Tiada ulasan: