Selasa, 27 September 2016

Persempadanan semula: P. Pinang tak bercadang adakan PRN, mahu kemuka bantahan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
GEORGE TOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang berpendirian untuk tidak  mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi membantah cadangan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di negeri itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).   
 
Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri sebaliknya akan mengemukakan bantahan kepada SPR sebagai pihak berkuasa tempatan.
 
Beliau berkata isu mengadakan PRN bagi membantah cadangan persempadanan itu di Pulau Pinang sebenarnya tidak berbangkit.
 
"Saya rasa kalau nak buat PRN, sudah buat tetapi...buat masa sekarang perkara itu tidak berbangkit," katanya kepada pemberita semalam.
 
Pada Ahad, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyatakan Pakatan Harapan negeri akan bermesyuarat bagi mendapatkan pendirian bersama dalam  membantah cadangan kajian persempadanan itu.
 
Bagaimanapun, Chow yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri berkata beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat Pakatan Harapan itu yang diadakan pada Ahad.
 
Katanya beliau difahamkan kerajaan Pulau Pinang akan meneliti impak kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya itu sebelum menentukan tindakan  yang akan diambil.
 
"Kajian mengenai perkara itu mungkin dapat dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.
 
Menurutnya kerajaan Pulau Pinang merancang untuk menggunakan kuasa sebagai pihak berkuasa tempatan bagi mengemukakan bantahan berhubung proses persempadanan semula itu.
 
 

Tiada ulasan: