Selasa, 20 September 2016

Permata tersembunyi di Manong


Permata tersembunyi di Manong
Shahrom turut turun padang membantu membersihkan kolam air panas ini.
 


MANONG - Siapa sangka di sebalik sebuah kampung di Manong, terdapat satu kolam air panas yang terbiar, namun berpotensi menjadi kawasan tarikan pelancong.

Dulunya ia menjadi lokasi tumpuan di mana bukan sahaja untuk penduduk Kuala Kangsar malah masyarakat dari kawasan lain juga tertarik dengan keindahan tempat itu.

Bukan itu sahaja, kolam air panas yang terdapat di situ juga dikatakan mampu menyembuhkan sakit kulit terutamanya yang melibatkan gatal-gatal kulit.

Justeru, berpusu-pusulah orang ke sana kerana mahu mendapatkan rawatan semula jadi untuk sakit kulit mereka selain menikmati keindahan alam semula jadi di sana.

Namun, entah di mana silapnya, kawasan yang dulunya sering dikunjungi kini terbiar begitu sahaja malah kawasan sekitarnya juga dipenuhi semak-samun.

Menyedari potensi yang ada pada kolam air panas itu, Adun Manong, Mohamad Kamil Shafie berhasrat mahu mengkomersialkan kolam tersebut kerana ia mempunyai kelebihan tersendiri.

Menurutnya, kolam air panas di Kampung Ara Panjang itu istimewa kerana mempunyai banyak mata air dan suhunya juga agak tinggi berbanding di lokasi kolam air panas lain dalam Malaysia.

Tambahnya, proses menaik taraf kolam itu akan dijalankan tidak lama lagi dengan memasang pagar, mencantikkan tepian kolam serta menyediakan infrastruktur untuk kemudahan pengunjung.

“Saya bersama Ahli Parlimen Kuala Kangsar akan bawa cadangan ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah dan juga dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah Kuala Kangsar.

“Kami telah berbincang dengan Exco Negeri dan merancang pelbagai usaha untuk mengkomersialkan kawasan ini," katanya.

Komersialkan kolam air panas

Usaha itu turut mendapat respons positif daripada Penghulu Mukim Senggang, Zuraimi Razali yang menganggap kolam itu mampu menjadi antara tarikan pelancongan utama di Kuala Kangsar.

Ujarnya, kolam itu yang sememangnya sinonim dengan penduduk kampung namun sejak kebelakangan ini ia terbiar disebabkan Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tidak mampu menyelenggarakannya secara bersendirian.

“Atas inisiatif Adun, baru-baru ini telah dibuat pelan tindakan untuk memajukan kolam semula jadi ini. Dengan kerjasama daripada pelbagai agensi, kawasan ini telah dibersihkan baru-baru ini.

“Saya percaya kolam air panas Kampung Ara Panjang mampu dikomersialkan kerana ia mempunyai sejarahnya tersendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Zuraimi turut mencadangkan nama ‘Bendang Nyangat’ yang diberikan penduduk kampung kepada kolam ini perlu dikekalkan sebagai identiti keaslian dan keunikannya.

“Mereka panggil bendang nyangat kerana dulu ini kawasan bendang yang mengeluarkan air hangat (nyangat) secara semula jadi. Harapnya nama ini dapatlah dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Shahrom Abd Malik gembira dengan penyertaan hampir 300 peserta dalam gotong-royong membersihkan kawasan itu, baru-baru ini.

Menurutnya, dengan penglibatan pelbagai agensi dan pelajar dalam program itu, ia diharapkan mampu menjadi ejen penyampai maklumat kepada masyarakat berhubung kolam air panas tersebut.

“Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah mendidik dan menjalin kerjasama antara agensi kerajaan dan penduduk kampung dalam menjaga kebersihan kolam ini supaya memberi keselesaan kepada pengunjung yang datang.

“Dalam perancangan yang akan datang, tempat ini mempunyai potensi yang baik untuk dibangunkan setanding kolam air panas lain yang terdapat di negeri Perak.

“Kerjasama daripada semua pihak dalam menjayakan program gotong-royong ini menunjukkan bahawa komuniti Kuala Kangsar mempunyai rasa bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan daerah ini,” ujarnya.


Tiada ulasan: