Khamis, 29 September 2016

Pengarah JKR Melaka didakwa kes rasuah, pengubahan wang haram

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
MELAKA:  Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Khalid Omar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan menerima suapan  dan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM1.28 juta.
 
 Tertuduh yang berusia 56 tahun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
 
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, penjawat awam itu didakwa melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM1,088,332.08 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613). 
 
Jika sabit kesalahan, tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai aktiviti haram itu atau mana yang lebih tinggi. 
 
Bagi pertuduhan empat hingga 16, Khalid didakwa menerima suapan sebanyak RM196,200 sebagai upah kerana melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal. 
 
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika didapati bersalah.
 
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah antara Mac 2014 sehingga Ogos lalu.
 
Mahkamah membenarkan Khalid diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.  
 
Kes itu disebut semula pada 4 November depan.
 
 

Tiada ulasan: