Selasa, 27 September 2016

Orang Islam diseru sokong Akta 355 - Mufti Kelantan

ANTARAPOS.COM


Post Pic


KOTA BHARU: Orang Islam diseru untuk menyokong pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 yang bertujuan memartabatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.
  
Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri dalam masa yang sama turut menasihati Ahli Parlimen khususnya yang beragama Islam agar menyokong pindaan tersebut apabila ia dibahaskan di sidang Dewan Rakyat pada sesi akan datang.

"Memang wajib (menyokong)... kenapa tidak mahu melihat perkara baik berlaku dalam Mahkamah Syariah. Kalau sebelum ini, bidang kuasa Mahkamah Syariah rendah, kalau beri sedikit kuasa, apa masalahnya.

"Dalam al-Quran ada menyebut, bertolong, membantu dalam hal-hal kebaikan, kebajikan dan taqwa merupakan benda yang baik, jadi semua patut sokong perkara baik (Akta 355)," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Mahabbah Ulama, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata akta berkenaan sebelum ini dipinda sebanyak dua kali tanpa sebarang masalah ataupun mendapat bantahan daripada mana-mana pihak.

Justeru, beliau melihat tentangan terhadap pindaan Akta 355 banyak dikemukakan oleh parti politik yang disifatkan mempunyai kepentingan masing-masing.

"Saya pun tidak faham. Pindaan Akta 335 ini kalau diluluskan, ia hanya bertujuan meningkatkan lagi bidang kuasa Mahkamah Syariah.

"Kalau kita tengok tentangan ini banyak daripada parti-parti politik,barangkali ada isu-isu yang ada kepentingan masing-masinglah," katanya.

Akta 355 dijangka akan dibentangkan pada sesi sidang Dewan Rakyat, pertengahan bulan depan, selepas Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta penangguhan sewaktu sesi yang lepas.

Tiada ulasan: