Selasa, 27 September 2016

Keselamatan murid: Pertemuan KDN, Rela, PDRM diadakan segera

THE MALAYSIAN TIMES


datuk-seri-dr-khair-mohamad-yusof


KUALA LUMPUR: Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi membincangkan isu keselamatan murid semasa pergi dan balik sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata perbincangan itu diadakan kerana pihaknya memandang serius beberapa insiden kemalangan yang bukan sahaja menyebabkan kecederaan malah kehilangan nyawa murid.

Menurutnya perbincangan itu bagi mengenal pasti sekolah-sekolah di seluruh negara yang berada di lokasi berisiko tinggi kemalangan.

“Dalam hal ini kementerian menyambut baik dan mengalu-alukan tawaran KDN khususnya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menggunakan khidmat Rela bagi mengawal lalu lintas di kawasan sekolah berikutan peningkatan kemalangan melibatkan murid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata perkara itu boleh dibincangkan bersama oleh pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Rela.

Pada 21 Sept lepas, seorang murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Medan, Bagan Serai di Perak, maut akibat dilanggar treler ketika melintas untuk memasuki perkarangan sekolahnya.

Sehari sebelumnya, murid Tahun Empat SK Santong, Dungun di Terengganu maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan memasuki perkarangan sekolah.

Khair berkata Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah juga diminta mematuhi arahan surat pekeliling berkaitan iaitu Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 8/1999: Keselamatan Diri Murid Dalam Perjalanan Pergi dan Balik Sekolah.

Selain itu, mereka juga perlu mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 10/2009: Pelaksanaan Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Dalam Bahasa Malaysia di Sekolah Rendah dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 8/2011: Pengurusan Keselamatan Murid di Sekolah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Rela Datuk Kamariah Mohd Noah berkata pihaknya tidak mempunyai halangan menghantar anggotanya membantu urusan kawalan lalu lintas di sekolah jika ada permohonan daripada Kementerian Pendidikan atau pihak sekolah.

Beliau berkata Rela sedia menempatkan dua anggotanya di kawasan sekolah.

“Tetapi perkara itu bergantung kepada tahap kesibukan lalu lintas dan risiko di kawasan itu. Mungkin juga boleh ditempatkan sehingga empat anggota,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Kamariah berkata perkara itu bergantung dengan keputusan Kementerian Pendidikan sekiranya ia ingin mengambil perkhidmatan kawalan keselamatan swasta untuk mengawal keselamatan di sekolah.— Bernama


Tiada ulasan: