Jumaat, 16 September 2016

Haron Din generasi terawal lulusan agama sertai PAS, kata Hadi

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
MARANG: Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din adalah generasi awal lulusan Islam yang menyertai PAS sejak parti itu ditubuhkan, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
“Beliau merupakan generasi awal yang bersama dengan PAS, generasi awal lulusan Islam bersama dengan Profesor Dr Zulkifli Mohamad dan kumpulan Islam," katanya selepas menyampaikan kuliah mingguan pagi Jumaat di Masjid Rusila, di sini.
 
Hadi kemudiannya berkata beliau berharap roh Allahyarham dicucuri rahmat dan semoga segala amal jariahnya diterima Allah SWT.
 
“Kita harap semua sumbangan Allahyarham terhadap Islam dapat diterima Allah SWT dan semua kekurangan beliau diampunkan oleh Allah SWT.
 
“Mudah-mudahan Allah bagi rahmat dan meletakkan rohnya bersama para Anbia, syuhada dan para solehin yang menegakkan Islam,” ujarnya lagi.
 
Allahyarham Haron Din, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.
 
Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.
 


Tiada ulasan: