Selasa, 20 September 2016

Bersatu gerak langkah tubuh ‘pakatan alternatif’ singkirkan BN

INTAN NUR IDAYU


bn-bersatu-kamarulazman



KUALA LUMPUR: Bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang mengatur langkah untuk menubuhkan satu pakatan alternatif iaitu semua parti pembangkang berada dalam satu pakatan.

Menurut Setiausaha Kerja Eksekutif Bersatu, Kamarul Azman Habibur Rahman, parti itu sedang berusaha untuk menjadikan pakatan alternatif itu satu realiti malah rancangan mereka itu juga dikatakan sedang dalam perbincangan.

“Kita sedang cuba sedaya upaya untuk bekerjasama dengan semua parti pembangkang dengan PAS, dengan Pakatan Harapan, DAP, PKR dan Amanah (Parti Amanah Negara). Kita cuba bekerjasama dengan semua.

“Secara tidak rasmi juga, kita dah pun adakan perbincangan-perbincangan awal untuk mengadakan satu pakatan alternatif, pakatan pembangkang kepada Barisan Nasional (BN).

“Kita akan beri nafas baru kepada pakatan pembangkang yang ada di negara ini. Ia akan diberi identiti baru dan ia mempunyai kekuatan yang baru dan seterusnya perjuangan yang  selaras dengan parti komponen yang ada,” katanya kepada The Malaysian Times (TMT) hari ini.

Tambah beliau lagi, petang ini, Bersatu akan membuat satu mesyuarat bagi membincangkan isu tentang pilihan raya akan datang, tentang borang-borang pendaftaran parti dan apa-apa perkembangan terkini mengenai Bersatu.

“Mungkin juga kita akan bincangkan macam mana kita nak kemaskinikan pendaftaran atas talian sebab hari ini kita akan mulakan pendaftaran secara atas talian,” ujar Kamarul.

Difahamkan, pendaftaran keahlian Bersatu boleh dibuat secara atas talian bermula hari ini selepas seminggu parti tersebut mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendafatran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Sebelum ini, pendaftaran dikatakan hanya boleh dibuat melalui borang sahaja dan menurut Kamarul yang juga merupakan Presiden Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) itu, sehingga ke hari ini, lebih daripada 100 ribu borang pendaftaran keahlian Bersatu telah diedarkan ke seluruh negara.

“Kita tak tahu berapa ramai yang telah berdaftar sebagai ahli sebab mereka belum kembalikan borang kepada kita lagi. Jadi, saya tak boleh nak berikan angka berapa ramai ahli kita sekarang.

“Tetapi, kalau ikutkan, pada hari pertama (14 September) sahaja, kita telah keluarkan 10 ribu borang selepas itu kita keluarkan lagi 40 ribu borang. Yang ini pun telah habis diambil macam ‘goreng pisang panas’.

“Jadi, saya jangka setakat hari ini sahaja kita telah keluarkan dalam 100 ribu borang,” tegasnya.

Terdapat satu laporan sebelum ini bahawa sebanyak sebanyak 9,000 orang telah mendaftar sebagai ahli Bersatu pada minggu lalu sahaja tetapi angka tersebut masih belum disahkan oleh mana-mana pemimpin Bersatu.

Bersatu ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama-sama dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tun Mahathir memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersatu, manakala Muhyiddin merupakan Presiden Bersatu.

Antara pemimpin parti itu selain Kamarul adalah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas pemimpin Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin,  anak lelaki bekas setiausaha agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid , Muammar Ubaidah Sanusi dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


Tiada ulasan: