Khamis, 11 Ogos 2016

Wajah ‘Abang Long’ DAP semakin terserlah.....






DETK DAILY


Alhamdulillah kita semua masih lagi diberi kesempatan untuk bersama-sama berada dalam perjuangan dalam gerakan Islam yang ulung ini.Tidak sampai setahun Pakatan Harapan terbentuk, akhirnya kini mula bertelagah.

Masing-masing tahu sebenarnya mereka bersatu untuk kepentingan masing- masing sahaja, bukan kerana ikhlas mahu menghormati dasar atau prinsip antara satu sama lain.

DAP memainkan lagi sekali peranannya sebagai ‘Abang Long’ dalam menggerakkan Pakatan Harapan. Lihat sahaja pengumuman Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahukan pembubaran DUN Pulau Pinang.

Keputusan yang diambil tatkala beliau kini resah diburu isu pembelian banglo dan kes siasatan SPRM membabitkannya, sekonyong beliau mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dan disegerakan.

Tatkala PKR sedang kalut dengan isu Menteri Besar Selangor, Azmin Ali, maka Guan Eng membuka langkah ‘Abang Long’ untuk memaksa semua pihak dalam PH menerima keputusan tanpa bincangnya itu.

Diheretnya isu Langkah Kajang yang kejang itu menjadi bukti memaksa dan menghentam PKR. Aksi kata-kata telanjang menelanjang, bogel membogelkan mula berkumandang, tidak cukup satu-satu isu dibangkitkan.

Inilah yang sebenarnya terjadi apabila sebuah parti terlalu merasakan dominan untuk membawa semua idealisme dan pandangannya sahaja yang harus diterima sebagai suatu yang betul.

PAS menghadapi situasi ini dahulu apabila DAP tidak langsung menghormati dasar dan perjuangan PAS yang sudah diketahui sejak sekian lama. DAP begitu kuat menghentam PAS dalam isu Hudud, dan kemudiannya menjadikan isu itu sebagai sebab kononnya mengapa Pakatan Rakyat harus dibubarkan.

Kini bila DAP berdepan kesukaran dan ujian, maka dipaksanya lagi untuk menerima apa sahaja idea mereka ke atas PAN dan PKR. PKR yang sudah tahu permainan licik DAP membalas dengan keras, namun PAN hingga kini hanya membisu seribu bahasa, tidak mampu melawan ‘Abang Long’ mereka lagi.

Inilah wajah sebenar DAP, dan apa yang terjadi ini boleh disifatkan sebagai ‘kata dulang paku serpih, kata orang DAP yang lebih’. Sama-sama mengambil iktibar, dalam bertahaluf, bersahabat usahlah terlalu tamak dan hanya mahu mengangkat idea sendiri sahaja...~Editorial Harakah

Tiada ulasan: