Ahad, 14 Ogos 2016

Umno Shah Alam tuntut mansuh dua tol

Umno Shah Alam tuntut mansuh dua tol
Azhari ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Bahagian Shah Alam, di sini, hari ini.



SHAH ALAM - Umno Shah Alam menuntut pimpinan kerajaan memansuhkan tol Batu Tiga dan tol Sungai Rasau yang dilihat membebankan pengguna sejak dulu lagi.

Ketuanya, Datuk Azhari Shaari berkata, pihaknya perlu mengakui plaza tol tersebut menjadi punca kekalahan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

"Kami minta Datuk Seri (Ahmad Zahid Hamidi), mansuhkan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau yang sudah terlalu lama membebankan rakyat.

"Di mana tol-tol ini menjadi punca kekalahan kita dalam PRU lalu," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Shah Alam, di sini, hari ini.

Dalam ucapan sama, Azhari turut meminta Umno pusat mempertimbangkan untuk meletakkan calon tempatan bagi kerusi Parlimen Shah Alam dalam PRU14 nanti.

"65% pengundi di Shah Alam adalah Melayu. Kita tewas 10,000 undi di Parlimen Shah Alam ini.

"Faktor kalah kerana calon luar. Berilah peluang kepada kepimpinan Umno Shah Alam bertanding. Biarlah calon dipilih antara kami dalam PRU untuk rampas kembali kerusi di Shah Alam ini," katanya yang disambut sorakan perwakilan.

Tiada ulasan: