Jumaat, 5 Ogos 2016

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM tak faham isu 1MDB, soal Kanun

MALAYSIA DATELINE
 
 
Wan Anwar Timbalan Pengerusi Kanun AmanahWan Anwar Timbalan Pengerusi Kanun Amanah


Biro Undang-Undang Parti Amanah Negara (KANUN) membidas kenyataan bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Zakaria bahawa skandal 1MDB bukan isu rasuah.

Timbalan pengerusi Kanun Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, amat menghairankan apabila Zakaria menyatakan bahawa skandal 1MDB bukan isu rasuah sebaliknya hanya isu penipuan dan pelaburan.

“Kanun mempersoal sama ada bekas TKP SPRM tersebut tidak membaca laporan yang disediakan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) berkenaan skandal berkenaan.

“Perenggan 102 laporan DOJ tersebut jelas menunjukkan penglibatan 'Malaysian Official 1' yang menerima USD681 juta ke dalam akaun peribadinya manakala perenggan 28 pula mendefinisikan 'Malaysian Official 1' sebagai seorang penjawat awam berkedudukan tinggi dan pada masa yang sama mempunyai otoriti dalam 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Zakaria dalam ceramah anjuran Pas di Putrajaya berkata, polis yang sepatutnya menyiasat skandal 1MDB kerana ia melibatkan isu pelaburan, penipuan manakala Bank Negara perlu menyiasat isu melibatkan pelaburan yang berlaku itu.

Wan Anwar berkata, mengikut konvensyen SPRM sendiri, memang terdapat kes-kes rasuah yang disiasat boleh didakwa di bawah akta-akta lain jika fakta dan keterangan menunjukkan kesalahan lain yang boleh dibuktikan seperti seksyen 420 Kanun Keseksaan berkenaan penipuan.

“Adakah laporan DOJ tersebut tidak mempunyai sebarang merit untuk untuk SPRM menjalankan siasatan di bawah seksyen 16 dibaca bersama seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694)?” soalnya.

Beliau juga khuatir Zakaria tidak memahami isu sebenar berkaitan 1MDB sehingga mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Adakah bekas TKP SPRM tersebut tidak faham isu sebenar skandal kewangan terburuk tersebut yang jelas telah menjatuhkan imej dan reputasi negara?” soalnya lagi.

Tiada ulasan: