Sabtu, 6 Ogos 2016

'Tiada maaf jika bersekongkol dengan anasir luar'

MALAYSIAKINI


Anggota UMNO diminta berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan anasir luar yang mempunyai agenda untuk menganggu-gugat kestabilan politik dan ekonomi negara.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata terdapat sesetengah pihak mahu mencampuri urusan negara secara kasar dan halus.

"Sebagai sebuah negara yang kecil dan mempunyai perdagangan seluruh dunia, kita sentiasa diajar untuk melihat percubaan mana-mana pihak terutama kuasa-kuasa asing yang mempunyai agenda masing-masing.

"Yang kasar kita nampak, yang halus macam inilah yang membuatkan kita resah dan gelisah dan akhirnya rakyat tidak dapat membuat perhitungan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Lenggong dan ketiga-tiga sayap bahagian itu, di Gerik hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada tindakan pihak tertentu yang mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan saman sivil difailkan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat bagi mendapatkan kembali aset diperoleh melalui dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa diselewengkan.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut melahirkan rasa kecewa apabila terdapat segelintir pemimpin di negara ini termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang seolah-olah bersekongkol dengan pihak tersebut dengan mengiakan kenyataan itu.

"Tiada maaf bagi pihak yang bersekongkol dengan anasir luar.

"Belum pun ada perbicaraan, bila nama perdana menteri disebut oleh agensi berita luar negara, mereka mengiakan dengan bertepuk tangan dan bersorak kegembiraan bila ada pihak tertentu yang memburukkan nama negara dan merosakkan ekonomi kita.

"Jika ada nama yang disebut biarlah (mereka menjalani) proses (saman) itu, kita akan hukum mereka jika mereka didapati bersalah, kita tak mahu rakyat merasakan kita (anggota dan pemimpin UMNO) mengiakan dan terjebak dengan permainan anasir yang masuk ke negara kita secara halus," katanya.-Bernama


Tiada ulasan: