Isnin, 15 Ogos 2016

'Sewa dan beli' tanpa deposit, khidmat bas sekolah percuma untuk PPR

ANTARAPOS.COM


Post Pic


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara akan dilaksanakan secara sistem 'sewa dan beli' tanpa bayaran deposit bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat.

Ahmad Zahid berkata beliau mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya melaksanakan perkara itu mengikut hemah beliau.

Katanya anak-anak penghuni PPR juga akan ditawarkan perkhidmatan bas sekolah secara percuma bagi membantu keluarga daripada golongan miskin bandar.

"Saya dengan ini mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan melalui DBKL supaya PPR di seluruh Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) melaksanakan sistem sewa beli tanpa bayar deposit.

"Untuk anak-anak sekolah di semua rumah PPR, saya arahkan supaya berikan (perkhidmatan) bas sekolah dengan percuma," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Lembah Pantai di sini hari ini, yang turut dihadiri Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno dan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.


Tiada ulasan: